PAS menuntut bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad untuk
menyatakan secara spesifik individu yang dimaksudkannya "menyertai Umno
nak kaya".
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menegaskan, perkara itu perlu bagi membolehkan perwakilan Umno untuk mengenalpasti calon yang akan dipilih mereka pada 19 Oktober depan.
"Saya kata macam ini bukan sebab saya sayang Umno. Tapi bila mereka itu dipilih dari kalangan perasuah, kerajaan tidak akan bebas," katanya kepada The Malaysian Insider semalam.
"Apabila perasuah menjadi pemimpin, ekonomi negara sudah pasti hancur," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.
Dr Mahathir sebelum ini menggesa supaya Umno dibersihkan menjelang pemilihan parti kerana ramai yang menyertai parti itu dakwanya semata-mata mahu menjadi kaya.
Anak beliau, Datuk Mukhriz Mahathir, merupakan salah seorang calon naib presiden yang akan dipilih oleh perwakilan Umno seluruh negara hujung minggu ini.
Dr Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri paling lama berkidmat itu turut menggesa supaya pemimpin baru dan muda diberikan peluang kerana langkah tersebut akan mampu membersihkan Umno.
"Bahkan pemimpin Umno di semua peringkat dianggap menyertai Umno bukan kerana bangsa, agama dan negara tetapi ingin memperkayakan diri.
"Hanya dengan memberi kepimpinan Umno kepada orang muda dan belum tercemar barulah pembersihan Umno boleh menjadi kenyataan dan diterima oleh masyarakat," katanya dipetik di edisi Ahad akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia September lalu.
Pemilihan Umno yang akan diadakan secara serentak pada 19 Oktober depan untuk memilih pemimpin di peringkat bahagian dan pusat bukan saja penting untuk kelangsungannya menghadapi pilihan raya akan datang, bahkan juga merupakan ujian kepada ahli peringkat akar umbi yang pertama kali diberi peluang memilih pemimpin serta mencorakkan parti itu.
Mahfuz menegaskan, Dr Mahathir perlu berani dengan menamakan individu berkenaan demi semangat cintakan tanah air.
"Dr Mahathir kena berani. Ini bukan untuk Umno, tapi untuk negara," katanya.
Keputusan pemilihan sayap parti Melayu itu minggu lalu menyaksikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kekal sebagai penyandang jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita Umno.
"Keputusan itu jelas membuktikan perwakilan tidak kisah dengan isu perasuah ini," kata Mahfuz lagi.
Pemilihan Umno kali ini menggunakan sistem pemilihan baru dengan sejumlah 150,000 perwakilan akan mengundi untuk memilih Ahli Majlis Tertinggi, Naib Presiden, dan juga ketua sayap.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.