Tidak hairanlah mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ahli
korporat terkemuka bertemu dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad bagi mendapat pandangan sesuatu dasar serta memperoleh
perkenan beliau.
Meskipun sudah meletakkan jawatan genap 10 tahun sebagai Perdana Menteri
pada bulan ini, Dr Mahathir masih merupakan pemimpin popular dalam Umno
hingga ke hari ini menurut kajian yang dijalankan ke atas penyokong
parti Melayu itu.
Merdeka Center menjalankan kajian pelbagai isu
berkaitan parti itu termasuk kepercayaan dalam Umno dan sentimen kepada
personaliti.
Soalan itu ditanyakan kepada 600 penyokong parti bagi menilai pemimpin
parti seperti Najib, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri
Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Ali Rustam,
Tan Sri Isa Samad, Dr Mahathir dan lain-lain.
Dr Mahathir mendapat undian 79% daripada responden yang mengambil
bahagian dalam satu kajian yang dijalankan melalui telefon bulan lalu.
Najib pula mendapat undian sebanyak 69%, Muhyiddin (54%) dan Ahmad Zahid
(58%).
Mantan Perdana Menteri itu masih kekal popular meskipun beliau tidak
menjawat apa-apa jawatan dalam Umno setelah menyerahkan jawatan yang
disandangnya itu selama 22 tahun kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada
Oktober 2003.
Dengan hasil kajian itu, populariti Dr Mahathir masih mendahului
pemimpin Umno masa kini meskipun dituduh dengan pelbagai tohmahan
karakter dan kepimpinannya terdahulu. Mengapa?
Jawapannya mudah. Umno dan Barisan Nasional (BN) semasa kepimpinan Dr
Mahathir merupakan parti yang kuat dengan penguasaan dua pertiga di
Parlimen menjadi kebiasaan dan suara pembangkang tidak selantang
sekarang.
Dengan keadaan sedemikian, Umno/BN mampu menghalang segala penentangan
terhadap polisinya tidak seperti hari ini yang melihatkan Najib menerima
tentangan hampir kesemua inisiatifnya oleh pihak pembangkang setelah
Pakatan Rakyat (PR) mendapat 52% undi popular semasa pilihan raya umum
ke-13 (PRU13) lalu.
Kekaguman terhadap Dr Mahathir juga adalah ketegasan beliau. Berbeza
dengan kritikan dilontarkan kepada Najib yang merupakan seorang pemimpin
tidak tegas, selalu mendengar pandangan ramai berbanding mengambil
keputusan berani untuk Malaysia.
Berbeza ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir, apabila pemimpin itu mahu
melaksanakan sesuatu dasar, beliau bertekad melaksanakannya dan tidak
peduli dengan pandangan pihak lain.
Tidak hairanlah pendekatan sebegini menyebabkan kerugian besar seperti
penjualan syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) kepada Tan Sri
Tajudin Ramli dan kegagalan beberapa projek lain seperti Perwaja Steel.
Penyokong Umno mahu pemimpin tegas dalam parti mereka setelah kegagalan Abdullah dan kini terpaksa melayan kerenah Najib.
Akhbar milik Umno dan seangkatan dengannya seperti Utusan Malaysia,
Berita Harian dan Harian Metro tidak memberi gambaran sebenar tentang
pentadbiran Dr Mahathir.
Laporan mereka selama bertahun-tahun hanyalah mahu mengampu dan
berfikiran sempit dengan memfokuskan kejayaan besar beliau sahaja tanpa
melaporkan kegagalan atau jalan pintas yang diambil bagi mencapai
kejayaan.
Hasilnya, liputan meluas seperti kejayaan mercu tanda Kuala Lumpur,
Menara Berkembar Petronas berbanding berbillon ringgit royalti minyak
dibazirkan untuk projek yang sia-sia.
Persoalannya, adakah populariti Dr Mahathir membantu Datuk Mukhriz Mahathir memenangi jawatan naib presiden Umno?
Dengan pengaruh yang ada pada Mukhriz, ikon itu mampu memberi ancaman
besar kepada penyandang-penyandang jawatan itu, Ahmad Zahid,
Hishammuddin dan Datuk Seri Shafie Apdal. ~the malaysian insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.