Kerajaan Selangor buat pertama kalinya dalam sejarah negeri ini akan
memberi elaun berjumlah RM8,620 dan keistimewaan kepada Ketua
Pembangkang Dewan Negeri Selangor sebagai pengiktirafan kepentingan
jawatan tersebut dalam sebuah kerajaan demokrasi.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) dalam kenyataannya hari ini.
Khalid berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang semalam
meluluskan keistimewaan tambahan kepada Katua Pembangkang Dewan Negeri
Selangor yang akan dilaksanakan mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota
Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira Ketua Pembangkang
adalah komponen penting dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem
demokrasi untuk menjalankan peranan semak dan imbang (check and balance)
kepada kerajaan pemerintah sedia ada.
Beliau berkata, kepentingan Ketua Pembangkang dapat dilihat seperti
keutamaan yang diberikan untuk berhujah selepas sesuatu Rang
Undang-Undang dibacakan dan keutamaan membahas usul Menjunjung Kasih
DYMM Sultan Selangor selepas Datuk Menteri Besar pada persidangan Dewan
Undangan Negeri Selangor.
"Kelulusan ini akan dikuatkuasakan selepas usul ini dibentangkan dalam
Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Ke -13 yang dijangka mula
bersidang pada 19 November depan," katanya.
Ketua Pembangkang bakal menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun
setiausaha kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang
berjumlah RM8,620 sebulan.
Pembayaran elaun ini sejajar dengan imbuhan yang diberi kepada Ketua
Pembangkang di Parlimen mengikut Akta Ahli Parliem (Saraan) 1980.
"Keputusan ini selari dengan hasrat kerajaan Pakatan Rakyat untuk
menanam dan menyuburkan demokrasi tulen di negara ini yang memberi
kesamarataan hak demi memperjuangkan kebajikan rakyat," katanya. ~tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.