Kira-kira 1,000 warga asing Bangladesh memasuki Malaysia secara tidak
sah setiap hari dan menggunakan dokumen palsu melalui Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) , kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, R
Sivarasa (gambar).
Beliau berkata, kes pemerdagangan manusia ini berlaku membabitkan kerjasama beberapa pihak di Malaysia dan Bangladesh.
"Beribu-ribu warga Bangladesh memasuki negara kita melalui visa
pelancong setiap bulan untuk bekerja di sini."Pada setiap hari, enam
pesawat dari Dhaka mendarat di KLIA dengan kira-kira 1,000 penumpang
menggunakan visa pelancong. Saya difahamkan majoriti daripada mereka
bukan pelancong tulen tetapi datang dengan tujuan mencari kerja,"
katanya ketika ditemui di Petaling Jaya hari ini.
Sivarasa berkata, kebanyakannya tidak pulang ke Dhaka dalam tempoh 30
hari seperti yang ditetapkan malah warga asing berkenaan dapat
memperoleh dokumen palsu dengan harga 32,000 Taka Bangladesh atau
RM1,300 bagi mendapatkan dokumen itu.
Beliau mendedahkan pihak yang terlibat ialah ejen jualan am Sistem
Penerbangan Malaysia (MAS) yang beroperasi di Bangladesh iaitu Union
Tours and Travel Limited (UTT), kakitangan di bahagian pemprosesan visa
di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh dan kakitangan
Imigresen di KLIA.
Katanya, sejak UTT dilantik oleh MAS, penerbangan dari Bangladesh ke Malaysia meningkat kepada dua pesawat sehari.
"Peranan UTT di Dhaka ialah bersekongkol dengan kakitangan pemprosesan
visa di Suruhanjaya Tinggi di Dhaka bagi memastikan mereka yang
menggunakan visa pelancong tidak menghadapi masalah ketika daftar masuk
di Lapangan Terbang Dhaka.
"Imigresen di KLIA juga terlibat dalam jenayah ini dengan tidak
memeriksa setiap penumpang secara rapi. Kelalaian ini mengakibatkan
pekerja Bamgladesh dieksploitasi di tempat kerja oleh majikan atau
tempat mereka ditahan.
"Sikap sambil lewa memberi kerugian kepada negara kerana tidak dapat
mengutip yuran pekerja asing yang berkhidmat secara sah," katanya.
Sivarasa berkata, amalan haram ini mendapat liputan meluas di Bangladesh
dan akhbar tempatan giat melaporkan keadaan salah laku itu. -
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.