Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Yusof berkata, kebanyakan kes rogol yang direkodkan adalah melibatkan mereka di bawah umur iaitu berusia 18 tahun ke bawah.
Menurutnya, ibu bapa dan masyarakat perlu bekerjasama memerhatikan aktiviti sosial remaja, terutama yang masih bersekolah.
“Kita memandang berat kes ini dan sememangnya rogol dan cabul meningkat, namun ia lebih melibatkan suspek dan mangsa yang saling mengenali antara satu sama lain.
"Bagaimanapun, lain-lain kes jenayah menunjukkan penurunan, terutama membabitkan harta benda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, semalam.
Turut serta, Timbalan Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Hashim Ya.
Pada majlis sama, seramai 11 pegawai dan anggota diraikan berikutan kenaikan pangkat mereka.
Zakaria berkata, berdasarkan rekod dari Januari hingga Mei lalu, kes kecurian motosikal antara jenayah tertinggi.
“Bulan ini sahaja (Jun), kita ada enam kes kecurian motosikal membabitkan kes di sekitar Bandar Triang dan Bandar 32.
“Kebanyakannya berpunca sikap cuai pemilik yang mengabaikan ciri keselamatan pada kenderaan masing-masing,” katanya.
Beliau berharap, perkara itu menjadi iktibar kepada pemilik motosikal lain supaya memastikan ciri keselamatan motosikal dipertingkatkan.
“Ini kerana motosikal yang dicuri kebiasaannya akan dileraikan hingga menyukarkan polis menjejaki kenderaan terbabit,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.