[Bernama] Bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Sirul Azhar Umar, yang
disabitkan kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, hari
ini memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi memohon
pembebasannya, mendakwa wujud perbicaraan silap oleh Mahkamah Tinggi
Shah Alam.
Notis usul itu difailkan firma guaman The Chambers of Kamarul Hisham and
Hasnal Rezua di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya dalam
usaha untuk memasukkan alasan rayuan tambahan.
Dalam permohonan itu, bekas Koperal Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah
kepada "publisiti buruk" secara meluas semasa perbicaraan itu yang
jelas mengelirukan dan prejudis terhadap dirinya, dengan itu menafikan
dirinya perbicaraan adil.
Beliau memohon Mahkamah Rayuan mengisytiharkan perbicaraan itu sebagai
perbicaraan silap, sabitannya diketepikan dan beliau dibebaskan.
Sirul Azhar, 39, mendakwa publisiti buruk yang diterimanya telah
mewujudkan kebarangkalian bahawa hakim mahkamah tinggi bersikap berat
sebelah, menyebabkan sabitannya boleh dipertikaikan.
Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada publisiti buruk menerusi
tiga akuan bersumpah, dua dibuat oleh penyiasat persendirian mendiang P
Balasubramaniam dan satu lagi oleh Raja Petra Kamarudin.
Beliau berkata akuan bersumpah yang pertama oleh Balasubramaniam, dibuat
selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 23 Jun, 2008, mengandungi
perkara-perkara yang prejudis terhadap dirinya kerana perkara itu tidak
didedahkan dalam keterangannya (Balasubramaniam) pada perbicaraan.
Katanya Balasubramaniam telah, pada 4 Julai 2008, membuat satu lagi
akuan bersumpah menyatakan beliau menarik balik akuan bersumpah yang
pertama.
Sirul Azhar berkata akuan bersumpah itu telah dimuat naik di pelbagai
laman web dan telah menjadi punca pelbagai spekulasi, perdebatan dan
ulasan daripada orang awam, pengamal undang-undang dan pemimpin yang
telah ditafsirkan sebagai mempersoalkan kesahihan dan ketulenan akuan
bersumpah itu.
Katanya persoalan penting yang bermain di fikiran para pembaca yang
mendapat akses kepada bahan itu mungkin ialah, "Apa yang mendorong
perayu-perayu untuk membunuh mangsa" dan "Siapa yang memberi arahan
supaya pembunuhan dilakukan oleh perayu-perayu".
Sirul Azhar berkata Raja Petra telah, pada 21 Jun, 2008, memuat naik
akuan bersumpahnya di laman web Internet menyatakan tiga individu lain
turut hadir semasa mangsa dibunuh, yang boleh ditafsirkan untuk membawa
maksud bahawa beliau (Sirul Azhar) adalah pembunuhnya.
Beliau mendakwa Raja Petra juga telah memuat naik satu salinan kenyataan
beramaran dipercayai olehnya (Sirul Azhar) menyatakan beliau (Sirul
Azhar) telah mengaku membunuh wanita Mongolia itu.
Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah dan
dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi
kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim
Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10 malam pada 19 Oktober 2006
dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat
dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas
pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman mati dijadual didengar Mahkamah Rayuan pada 10 Jun.
Peguam yang mewakili Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamarudin berkata
salinan notis usul itu akan diserahkan kepada pihak pendakwaan.
Duniacacamarba

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.