SHAH ALAM - Polis mempunyai asas kukuh untuk menahan beberapa pemimpin
pembangkang dan aktivis bagi membantu siasatan berhubung cubaan
menggulingkan kerajaan, kata menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Tegas Ahmad Zahid, penahanan tiga lagi individu hari ini di bawah Akta
Hasutan bebas daripada sebarang campur tangan politik dan di bawah
tanggungjawab polis sepenuhnya.
"... segala urusan operasi saya serahkan kepada pihak PDRM dan saya
berkeyakinan tentu polis mempunyai bukti dan asas-asas yang kukuh
melakukan penahanan itu.
"Dan saya tidak langsung campur tangan di dalam penahanan itu dan saya
harap pihak rakan-rakan wartawan dapat bertanya dengan pihak polis
sendiri," katanya ketika ditemui wartawan, di Putrajaya, hari ini.
Tengahari tadi kecoh apabila Naib Presiden PKR, Tian Chua, aktivis
'Asalkan Bukan Umno' (ABU), Haris Ibrahim dan Tamrin Ghafar ditahan
polis dalam tiga operasi berasingan.
Penahanan mereka dipercayai mempunyai hubung kait dengan perhimpunan
untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya pada Sabtu ini di padang
Amcorp Mall.
Ia turut dikaitkan dengan ucapan dalam perhimpunan 13 Mei lalu, di mana
aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim turut ditahan kerana didakwa
menyampaikan ucapan berbaur hasutan dalam program itu.
Adam Adli ditahan reman selama lima hari dan dibebaskan hari ini dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes Adam Adli akan didengar pada Julai depan.- SH
BATU VS KAYU
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.