Apakah perasaan kita jika kita sakit, lalu pergi mendapatkan rawatan di
hospital dan apabila keluar, kita telah disaman? Sesiapa sahaja yang
mengalami kejadian ini sudah tentu berasa amat terkilan. Itulah yang
berlaku kepada saya dan ramai lagi pesakit/pelawat Hospital Putrajaya.
Walaupun saya tidak pergi mendapatkan rawatan dan hanya melawat rakan
saya yang sakit, namun saya tetap berasa amat terkilan apabila kereta
saya disaman oleh pihak berkuasa. Saya lebih bersimpati dengan para
pesakit yang disaman.
Sudahlah sakit, disaman pula. Inilah yang berlaku
kepada saya dan ramai lagi para pesakit/pelawat yang pergi ke Hospital
Putrajaya. Kali pertama, kami disaman oleh pihak polis. Kali kedua pula
disaman oleh pihak berkuasa tempatan Putrajaya.
Rakyat tentunya tidak menghalang, malah menyokong apabila pihak berkuasa
menguatkuasakan undang-undang secara adil. Namun dalam hal ini, adalah
jelas bahawa mereka tidak menggunakan timbang rasa dan budi bicara.
Sebenarnya, kebanyakan orang yang pergi ke Hospital Putrajaya memang
meletakkan kenderaan di tepi jalan. Tetapi ini tidak bermakna mereka
tidak menghormati undang-undang. Sebenarnya, mereka terpaksa berbuat
demikian kerana kekurangan tempat letak kereta di Hospital Putrajaya.
Malah jika kita pergi ke mana-mana hospital sekalipun, masalah
kekurangan tempat letak kereta adalah antara masalah utama yang
dihadapi.
Selain itu, dalam kes Hospital Putrajaya, kenderaan yang diletakkan di
tepi jalan tidak menghalang lalu lintas. Hal ini kerana jalan tersebut
lebar dan besar. Lagipun, jalan-jalan tersebut bukan jalan yang sibuk.
Cuba kita bandingkan antara jalan di sekitar Hospital Putrajaya dan
Pusat Dagangan Dunia Putra.
Jika kenderaan diletakkan di tepi jalan
sekitar PWTC, memang mengganggu kelancaran lalu lintas. Sebaliknya,
situasi ini tidak berlaku di Hospital Putrajaya. Meskipun kenderaan
diletakkan di tepi jalan, namun kelancaran lalu lintas tidak terganggu.
Tetapi persoalannya adalah mengapakah kenderaan para pesakit yang pergi
ke Hospital Putrajaya disaman (tiada gangguan kelancaran lalu lintas),
sedangkan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan sepanjang Perhimpunan
Agung UMNO di PWTC tidak disaman (memang ada gangguan kelancaran lalu
lintas)? Jelas terdapat pilih bulu di sini.
Diharap pihak berkuasa lebih bertimbang rasa dan tidak mengamalkan dasar
pilih bulu dalam menguatkuasakan undang-undang.
Selain itu, sebelum
sesebuah hospital dibuka, kementerian yang berkenaan sepatutnya
memastikan terdapat tempat letak kereta yang secukupnya, misalnya dengan
membina tempat letak kereta bertingkat. Pihak berkuasa tidak seharusnya
menunggu masalah parkir timbul sebelum melakukan sesuatu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.