TENDER SEMULA NFC: UMUMKAN SYARAT DAN BUTIRAN PERJANJIAN
Saya
memandang berat kenyataan yang dibuat Dato’ Seri Noh Omar, Menteri
Pertanian dan Industri Asas Tani pada 13 Ogos 2012 bahawa proses tender
semula NFC sedang berjalan memandangkan kekusutan dan liabiliti kewangan
membabitkan NFCorp yang dimiliki keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih belum diselesaikan.
Sehingga kini, Dato’ Seri Najib Tun Razak masih belum mengesahkan perkara-perkara berikut:
1. Bahawa
pembekuan aset yang diumumkan pada 14 Januari 2012 dahulu telah berjaya
mengutip kembali semua perbelanjaan yang melanggar tujuan asal
pemberian dana oleh kerajaan dari NFCorp, termasuklah memindahmilikkan
aset-aset kondominium yang dibeli;
2. Dapatan
dari audit oleh sebuah pasukan audit bebas yang diumumkan Tan Sri
Muhyiddin Yassin sehingga kini masih belum dibentangkan kepada rakyat;
3. Bahawa
NFCorp akan membayar setiap satu sen dari RM250 juta dana rakyat yang
digunakan sebelum ini apabila projek tersebut diberikan kepada
kontraktor baru yang dilantik kerajaan.
Saya
berkeras bahawa kerajaan tidak boleh melantik kontraktor baru
sehinggalah ketiga-tiga perkara yang disenaraikan di atas telah
dilaksanakan, terutamanya perkara (3).
Adalah menjadi tanggungjawab ketiga-tiga orang menteri,
iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak (sebagai individu yang mempengerusikan
jawatankuasa tender yang menganugerahkan kontrak kepada NFCorp), Tan
Sri Muhyiddin Yassin (sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
pada ketika itu) dan Dato’ Seri Noh Omar (sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika skandal dibongkar) untuk mendapatkan jaminan peribadi (personalguarantee) setiap anggota keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil bahawa dana awam RM250 juta akan dikembalikan sepenuhnya.
Melalui
jaminan peribadi ini, sekiranya mereka gagal membayar dana awam RM250
juta itu apabila lantikan mereka sebagai kontraktor kepada projek ini
ditamatkan, maka kerajaan wajarlah menyita apa-apa harta mereka untuk membayar balik dana tersebut.
Saya tidak yakin bahawa ketiga-tiga menteri terbabit komited untuk mengutip kembali dana awam tersebut melihatkan tindakan mereka selama ini yang berdolak-dalih.
Oleh
sebab itu, saya berpendapat tindakan menjalankan proses tender kali
kedua untuk melantik kontraktor baru adalah satu muslihat untuk
melupuskan hutang NFCorp sebanyak RM250 juta tanpa disedari oleh rakyat
Malaysia melalui satu lantikan kontraktor baru.
Saya menyeru Dato’ Seri Najib Tun Razak mengesahkan perkara-perkara berikut:
1. Bahawa
tidak akan ada sebarang hutang NFCorp yang akan dilupuskan dan NFCorp
perlu membayar sepenuhnya RM250 juta melalui jaminan peribadi;
2. Bahawa
tidak akan ada suntikan dana baru ke dalam projek NFC ini walaupun
kontraktor baru dilantik kerana dana sedia ada sebanyak RM250 juta perlu
digunakan dan diperolehi dari NFCorp terlebih dahulu; dan
3. Bahawa tidak ada sebarang lantikan baru akan dibuat sehinggalah dana RM250 juta dikutip sepenuhnya.
Kegagalan
Dato’ Seri Najib Tun Razak melaksanakan ketiga-tiga perkara ini
mengukuhkan lagi pandangan rakyat bahawa Umno/Barisan Nasional cuba
sedaya upaya melindungi Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya.
RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.