Pengarah
Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Proton dan Perodua kekal harga
kereta terendah dalam pasaran jika rombakan struktur cukai dibuat dan
cukai eksais dihapuskan.
“Jika rombakan struktur cukai dibuat dan cukai eksais dihapuskan, harga
kesemua model kereta (baik Proton, Perodua, Toyota, Honda dan lain-lain)
akan turun secara berkadar terus dengan jumlah cukai eksais yang
dikenakan selama ini.
“Maka, harga Proton dan Perodua masih kekal sebagai harga kereta
terendah di pasaran pada harga purata di bawah RM30,000 setiap satu
model, berbanding kereta-kereta lain (seperti Honda, Toyota dan
lain-lain) yang harganya akan jatuh sekitar RM50,000 setiap satu model
secara purata,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di
sini hari ini.
Rafizi
berkata, latah pemimpin Umno BN mengatakan rombakan struktur cukai
menyebabkan harga kereta import setara Perodua dan Proton, sekaligus
menyebabkan jenama kereta tempatan itu terpinggir, tidak benar sama
sekali.
Jelasnya, kereta Proton dan Perodua yang dijual dicukai
sekurang-kurangnya 85 peratus dalam bentuk cukai eksais dan cukai jalan,
seperti model yang dijual Honda, Toyota dan lain-lain.
Menurut Rafizi, cukai eksais yang dikenakan terhadap pembelian kereta
adalah cukai menyeluruh, tidak membezakan antara jenama dan model
tempatan atau antarabangsa.
“Cukai
eksais dikenakan terhadap sesuatu kumpulan barangan. Maka cukai eksais
terhadap pembelian kereta adalah cukai yang dikenakan terhadap mana-mana
pembelian, pada kadar yang sama,” kata Rafizi.
Tambah beliau, ini mengukuhkan pendirian KEADILAN bahawa rombakan
struktur cukai ke arah memastikan harga kereta berada pada paras yang
munasabah dan adil kepada rakyat adalah penting untuk menambahkan
pendapatan bolehguna rakyat dan mengurangkan bebanan mereka.
Sebelum ini, Pakatan Rakyat bercadang untuk menurunkan harga kereta
dengan menghapuskan duti eksais dan cukai import jika berjaya mengambil
alih Kerajaan Pusat.
Langkah itu ekoran harga kenderaan di negara ini terlalu tinggi
disebabkan cukai-cukai tersebut.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.