KUALA LUMPUR, 26 Julai — Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menegaskan, sekiranya cadangan pemansuhan duti eksais kereta dilaksanakan, sepertimana cadangan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini, Malaysia bakal menyaksikan lebih banyak pengeluaran wang mengalir keluar negara ekoran rakyat lebih gemar memilih kereta luar berbanding kereta nasional.
Menurut Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali (gambar), keadaan itu bakal menyaksikan nasib pekerja Proton umpama telur di hujung tanduk kerana harga pembuat kereta nasional itu akan setara dengan kereta model antarabangsa.
“Alhamdulillah rakyat akan dapat membeli kereta dengan harga yang lebih murah … tapi semurah mana?
“Kereta Proton tiada siapa nak beli sebab kereta import mewah harganya lebih kurang sama … (dan) pekerja Proton pastinya gusar akan diberhentikan.
“Ini bakal menyaksikan wang negara terus mengalir keluar kerana rakyat akan lebih berminat untuk membeli kereta import,” katanya kepada The Malaysian Insider semalam.
Bagaimanapun, Syed Hassan menegaskan, cadangan yang diumumkan oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli itu juga hanyalah strategi memancing undi, kerana pilihan raya umum (PRU) ke-13 dijangka berlangsung tidak berapa lama lagi sebelum mandat Barisan Nasional (BN) tamat April depan.
“Ini semua janji adalah cubaan nak dapatkan undi untuk PRU13.
"Selama ini kita kenakan cukai tinggi kepada pembeli kereta import kerana untuk selamatkan industri kereta Nasional dan menghalang wang negara mengalir keluar … dan itulah caranya mengenakan cukai tinggi kepada mereka yang kaya, dan kadang-kadang terlepas dari membayar cukai pendapatan,” tegasnya.
“Inilah akan jadi bila org yang tidak tahu menguruskan ekonomi menerajui kerajaan negara ini nanti,” tambahnya lagi merujuk kepada kemungkinan penjualan Proton akan merosot jika rancangan itu dilaksanakan.
“Peniaga kereta AP tersenyum tetapi kerajaan kerugian ratusan juta ringgit dari cukai kereta import.”
Beliau turut menyelar pemimpin PR yang menurutnya begitu teruja untuk menawan Putrajaya, sehingga sanggup menjanjikan pelbagai perkara.
“Dulu nak mansuh PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) … sekarang cukai eksais kereta pula.
“Mereka pemimpin Pakatan ini tak sedar ke negara ni masih status negara membangun? Belum lagi negara maju,” soalnya.
Malah, beliau turut mengingatkan rakyat betapa “kerajaan sekarang adalah kerajaan yang telah berjaya memajukan negara ini, dan oleh sebab itu pemimpin Pakatan nak belanja sakan bila memerintah.”
Syed Hassan turut mengkritik pembangkang yang kerap menjanjikan perkara percuma dan tidak mahir dalam mentadbir ekonomi negara.
“Nak hidup bawah pemimpin yang tak tahu urus ekonomi negara? Siapa yang akan salah belanja wang negara sebenarnya kalau semua nak bagi percuma kepada rakyat? … sedangkan kita belum mencapai status negara maju lagi,” tegasnya.
“Saya nak tanya Rafizi, siapa yang buatkan negara banyak duit, seperti yang dia selalu kata banyak duit negara kerajaan habiskan. Pakatan?” soalnya lagi.
Beliau turut menjelaskan, dalam kedudukan parti dalam Pakatan Rakyat, hanya PKR yang kerap menabur janji-janji, sementara PAS dan DAP lebih kerap mengambil tindakan berdiam diri.
“Dalam Pakatan Rakyat, hanya PKR sahaja yang suka berjanji. PAS ikut sahaja sebab tidak tahu pasal ekonomi, jika tidak Kelantan pasti sudah maju.
“Bijaknya DAP diam seribu bahasa berkenaan janji-janji ini … nanti kalau memerintah mereka (akan) kata DAP tidak menjanjikan apa-apa.
“Itulah Pakatan Rakyat. Mereka berpakat untuk menipu rakyat sahaja.
“Rakyat jangan mudah terpedaya dgn janji-janji palsu mereka ni,” tambahnya lagi.
TMI
P/S: Murahkan lagi harga kereta proton! gerenti pekerja proton dapat terus bekerja. Bila kereta murah, duit lebih rakyat boleh beli rumah, tanah, meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak. Baghal punya PERKASA! Nampak sangat nak jaga kepentingan Mahathir!
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.