Perubahan kerajaan hampir pasti berlaku di Sabah apabila pemimpin berpengaruh meninggalkan Barisan Nasional (BN), kata bekas Timbalan Menteri Kabinet, Datuk Kalakau Untol.
Mengikut
sejarah, bekas Timbalan Menteri Buruh antara 1986 hingga 1990 itu,
berkata pertukaran kerajaan berlaku setiap kali beberapa pemimpin utama
mengubah haluan politik.
Dalam pilihan raya Sabah pada
1967, katanya, kerajaan negeri tumbang apabila beberapa pemimpin
Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) menyertai Usno.
Pada 1976, katanya, kerajaan
BN tumbang apabila Datuk Salleh Sulung dan Datuk Haris Saleh
meninggalkan Usno yang menjadi kerajaan ketika itu.
“Kerajaan
yang dipimpin Parti Berjaya itu juga tidak kekal apabila Datuk Seri
Pairin Kitingan dan Mark Kodding keluar parti dan menubuhkan PBS pada
1985.
“Namun kerajaan PBS itu pula tumbang walaupun menang pilihan raya negeri dengan kehilangan banyak kerusi, apabila BN melakukan rampasan kuasa seumpama di Perak,” katanya kepada Keadilan Daily.
Kalakau
adalah Ketua Pemuda UPKO selama 12 tahun sejak 1985 sebelum
meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat pada 16 Februari 2010.
Beliau juga adalah presiden
Persatuan Dusun Sabah Bersatu (Usda) dan pernah berkhidmat sebagai
Senator sehingga tamat penggalnya pada Disember 2005.
Kalakau percaya, kerajaan BN
Sabah bakal tumbang berikutan gerakan Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan
Pakatan Perubahan Sabah yang diterajui pemimpin berpengaruh.
APS yang didominasi suku etnik Kadazan-Dusun-Murut, diketuai Ahli Parlimen Tuaran dari BN, manakala PPS yang dominasinya Melayu-Islam diterajui Datuk Seri Lajim Ukim.
“Apabila masyarakat Kadazan-Dusun-Murut dan Melayu-Islam bersatu, perubahan politik di peringkat negeri pasti terjadi.
“Ia tentunya melakar kemenangan dan meroboh kerajaan BN Sabah, sekali gus melengkapkan lanskap perubahan politik di Malaysia,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.