KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik, yang
diperintah membela diri dalam kes membabitkan projek Zon Bebas Pelabuhan
Klang (PKFZ) di Mahkamah Tinggi di sini, terlupa membawa kad
pengenalannya.
Beliau yang juga saksi utama hanya menyedari ketiadaan dokumen itu
ketika diminta menyerahkannya kepada jurubahasa mahkamah sebelum
mengangkat ikrar untuk memberi keterangan.
Pada mulanya, Dr Ling memberi isyarat kepada isterinya, Toh Puan Ena
Ling, dan dua anak lelaki mereka, Hee Liong dan Hee Keat, bagi
menanyakan perkara itu tetapi semua menyatakan tidak membawa dokumen
tersebut.
Dr Ling yang pernah berkhidmat selama 17 tahun bersama kerajaan,
bagaimanapun dibenar memberi keterangan atas budi bicara Hakim Datuk
Ahmadi Asnawi.
Pada kebiasaannya, setiap saksi yang memberi keterangan perlu
menyerahkan kad pengenalan masing-masing untuk merekod data peribadi
seperti nama penuh dan alamat tetap.
Sementara itu, pada prosiding hari ini, Dr Ling berkata bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selalu membantu beliau dan
bertanya kepada anggota Kabinet sama ada mereka mempunyai sebarang komen
atau idea sebelum membuat sesuatu keputusan.
Dr Ling berkata, beliau memaklumkan Dr Mahathir berhubung projek
PKFZ bagi mendapatkan bantuan kewangan dan sokongan daripada kerajaan.
"Saya beritahu Tun Dr Mahathir kerana jika beliau berminat, Kabinet
juga akan berminat," katanya ketika menjawab soalan peguam Wong Kian
Kheong.
Beliau berkata, Tun Dr Mathathir juga dimaklumkan bahawa untuk
melaksanakan projek itu, Kementerian Pengangkutan memerlukan tanah
seluas 332 hektar (830 ekar) di Pulau Indah.
Katanya, pada setiap masa yang material, tidak seorangpun pegawai di
kementerian itu dimaklumkan bahawa memo bekas Timbalan Ketua Setiausaha
(Perancangan) Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor,
bertarikh 18 Mei 1999 (berhubung perbincangan cadangan pembelian tanah
di Pulau Indah) adalah salah dan harga bagi nilai tanah itu bukan RM25
sekaki persegi (skp).
Dr Ling juga berkata, beliau tidak mengeluarkan sebarang memo kerana tugas itu dilakukan pegawainya.
Terdahulu, beliau berkata idea untuk membangunkan projek itu timbul
selepas melawat Zon Bebas Antarabangsa Jebel Ali di Dubai dan
berpendapat ia mampu mempertingkat ekonomi negara.
Dr Ling, 68, dibicarakan atas pertuduhan menipu kerajaan Malaysia
dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan pembelian
tanah seluas 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) di Pulau
Indah, Klang bagi projek PKFZ, membabitkan RM1.08 bilion.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara 25 September 2002 dan 6
November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana
Putra, Putrajaya.
Perbicaraan bersambung Isnin. - BERNAMA
|
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.