KUALA LUMPUR 25 Mei - Pemimpin parti lawan mungkin
akan menggunakan cara demonstrasi ganas dan berpanjangan untuk memenangi
Pilihan Raya Umum ke-13 berikutan cara demokrasi tidak memberi
kemenangan kepada mereka berdasarkan kepada sejarah dan keputusan
pilihan raya terdahulu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, semua rakyat
Malaysia dan pemerhati asing sehingga kini mengakui proses pilihan raya
tidak dapat menjatuhkan Barisan Nasional (BN).
"Majoriti rakyat Malaysia tetap memberi kemenangan kepada BN, kenapa
tidak, semua terpaksa terima hakikat bahawa kerajaan BN telah membawa
banyak kemajuan dan nikmat lain kepada rakyat.
"BN berjaya membawa keamanan dan kesejahteraan kepada negara. Tiap
seorang dari rakyat Malaysia dapat mengecapi kehidupan yang lebih mewah
dan lebih bahagia di bawah pemerintahan BN," katanya dalam catatan
terbaru blog beliau di chedet.cc hari ini.
Dr Mahathir berkata, segala percubaan oleh parti-parti lawan untuk
mengurangkan sokongan dan persepsi baik terhadap BN dan pemerintah yang
didirikan olehnya tidak berjaya.
Justeru, katanya, maka Bersih dicipta dan tunjuk perasaan yang besar
dan ganas adalah persediaan untuk menolak keputusan pilihan raya jika
parti lawan gagal memenanginya.
"Kekalahan mereka akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak
berhenti-henti supaya keputusan pilihan raya ditolak dan satu kerajaan
lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti lawan.
"Kemudian, mereka akan berusaha untuk mengadakan pilihan raya sekali lagi yang boleh dimanipulasi mereka," katanya.
Tun Mahathir berkata, sudah tentu sebelum kerajaan pilihan rakyat
digulingkan, negara akan diserang bertubi-tubi dengan demonstrasi ganas
dan huru-hara selain segala perancangan dan perusahaan akan diganggu
mungkin dengan mogok di sana sini anjuran parti lawan.
"Kestabilan negara akan tergugat. Polis dituduh melakukan keganasan
supaya mereka tidak dapat kawal huru-hara dan demo dengan cara berkesan.
Kuasa-kuasa asing akan mengecam kerajaan pilihan rakyat kerana kononnya
mengguna kekerasan menghalang kebebasan bersuara dan berdemo. Malaysia
akan dicap sebagai Police State," katanya.
Beliau berkata, Malaysia yang bangun dengan pesatnya akan bertukar
menjadi negara yang tidak lagi stabil dan maju, dan tidak lagi memberi
kebahagiaan dan rahmat kepada rakyatnya.
"Mereka tidak percaya dengan demokrasi maka akan hilanglah hak rakyat
untuk memilih kerajaan. Negara ini akan menjadi miskin dan Wawasan 2020
tidak menjadi kenyataan," katanya.
Tun Mahathir berkata, inilah yang akan berlaku kerana parti bukan BN
kecewa tidak dapat ke Putrajaya dan jika dengan cara ganas mereka ini
membuatkan mereka berjaya merebut kuasa, maka demokrasi akan dihapuskan
dan nasib yang buruk akan menimpa negara ini.
Klpos
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.