Followers

Tuesday, May 8, 2012

JK Fatwa disuap dengan maklumat Umno sahaja - Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 7 Mei: Perbuatan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama mengharamkan perhimpunan yang menuntut pilihan raya bersih dan adil memalukan umat Islam, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
"Sangat memalukan umat Islam. Pertama, kerana apa yang didakwa fatwa itu dibuat ketika siasatan yang adil dan tidak memihak belum pun dibuat untuk menentukan siapakah yang mencetuskan kerusuhan, keganasan, huru-hara dan kekacauan.

"Adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mahu menconteng arang ke muka umat Islam dengan perbuatannya menghukum tanpa siasat?" katanya.

Mohamad berkata, dari apa yang diberitahu kepadanya, sesuatu fatwa itu dibuat setelah kajian dan siasatan yang menyeluruh dan adil dibuat.

"Sebab itulah saya kata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa memalukan umat Islam sebab belum siasat lagi sudah jatuhkan hukum," tegas beliau.

Beliau bimbang perbuatan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa menjatuhkan hukuman tanpa siasat itu akan mengakibatkan orang Islam dituduh sebagai agama yang tidak mementingkan siasatan yang adil dan menyeluruh sebelum membuat sesuatu keputusan dan hukuman.

"Jika selepas ini Islam dituduh sebagai agama yang menghukum secara semberono tanpa siasatan yang adil dan menyeluruh, Muzakarah Jawatankuasa Fatwalah pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan pandangan buruk sedemikian terhadap Islam," tegas beliau.

Mohamad juga menyifatkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa itu berlagak lebih dari Tuhan kerana "Allah pun membicarakan hamba-hamba-Nya di Hari Hisab lengkap dengan saksi dan bukti sebelum menjatuhkan hukuman".

Beliau meminta Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mengemukakan nas dan dalil yang mengharamkan perhimpunan aman rakyat menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Saya tegaskan lagi dan lagi, perhimpunan aman.

"Soalnya, adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa hidup seperti katak di bawah tempurung sehingga tidak tahu dan tidak mempunyai sebarang maklumat bahawa perhimpunan itu adalah perhimpunan aman, tidak ada harta benda awam atau persendirian yang dirosakkan sehinggalah rakyat yang berhimpun itu diserang dan diganasi.

"Satu dunia ada maklumat yang tepat, adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa tidak ada maklumat dan hanya mahu disuap dengan maklumat Umno sahaja?" beliau mempersoalkan.

Beliau juga mempersoalkan, di manakah suara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa terhadap pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih?

"Mengapa membatu dan membisu terhadap daftar pemilih yang tidak bersih? Mengapa tidak ada suara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa terhadap pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih?

"Adakah pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih itu tidak haram, tidak mengakibatkan kemudaratan, keresahan, rusuhan, perpecahan malah pertumpahan darah?" Mohamad mempersoalkan lagi.

Beliau terus mempersoalkan, adakah menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tidak baik dan tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat?

Mohamad tidak menolak kemungkinan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa akan menghadapi masalah imej seperti yang dihadapi oleh pihak polis serta kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).
template joomla. -

Pak Mael

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.