KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR
Azmin Ali terkejut dan tidak menyangka Pengasas Jalur Tiga (Jati) Datuk
Dr Hasan Ali sanggup mengeluarkan kenyataan fitnah menyerang
peribadinya.
Enggan menjawab dakwaan Hasan,
Azmin sebaliknya menganggap Hasan telah merendahkan martabat dirinya
sendiri apabila gagal menjelaskan perkara sebenar mengenai dakwaan
pengubahsuaian pejabat sehingga mencecah RM300,000.
Malah, Hasan bertindak
menyuburkan budaya fitnah apabila mencabar Azmin menjelaskan butiran
sumber kewangannya untuk membeli saham bernilai jutaan ringgit ketika
menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994 sedangkan gajinya ketika
itu hanya RM2,000 saja.
“Sebagai pemegang PhD dia selalu
kata dirinya bijak, berpengalaman luas tetapi saya terkejut sebab dia
sanggup merendahkan martabatnya apabila menunjukkan respon negatif
terhadap persoalan yang saya bangkitkan minggu lalu,” katanya kepada
pemberita di luar Dewan Rakyat di sini hari ini.
Hasan semalam mendakwa Azmin
serta isteri termasuk iparnya memiliki saham mencecah RM8.5 juta pada
awal 1990-an, memetik kenyataan Pengerusi Yayasan Pembangunan India
Malaysia, S A Vickneswaran sebelum ini .
Namun Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, dakwaannya itu berdasarkan fakta dan angka daripada laporan audit.
Sedangkan katanya Hasan tidak
menjawab soalan beliau, malah tidak menafikannya dan turut mengheret
beberapa Adun lain mendakwa mereka juga melakukan perkara yang sama.
“Apakah ini nilai Islam dan Melayu yang hendak diperjuangkan Hasan Ali?
“Dia
tak jawab soalan pokok tapi kutip fitnah beberapa individu dan
menyuburkan fitnah itu,” katanya yang menganggap isu saham itu satu
fitnah lama yang timbul sejak dulu lagi.
Ubah suai pejabat
Katanya, isu ubah suai pejabat
itu sudah lama dibangkitkannya sejak dua tahun lalu namun apabila beliau
memaklumkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,
beliau dihalang kerana Abdul Khalid memutuskan untuk menyiasat dakwaan
ini melalui pemeriksaan audit.
“Menteri Besar kata tak perlu
bangkit dalam Dewan dan dia nak maklumat tu diaudit dan siasat dakwaan
ini, jadi audit ambil masa untuk siasat dan kemudiannya membawa isu ini
untuk perhatian exco.
“Tetapi bila Menteri Besar nak bentangkan laporan audit, Hasan Ali keluar dan tidak pertahankan jawatannya,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan yang
wajar diambil terhadap Hasan kerana mengubah suai pejabat, Azmin berkata
perkara itu diluar bidang kuasanya dan menyerahkan kepada Abdul Khalid
dan Exco Selangor lain putuskan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.