Followers

Wednesday, June 1, 2011

Zaid Ibrahim dan KITA Kini Tukang Karut Umno?

Banyak pihak sebelum ini mempersoalkan tujuan Datuk Zaid Ibrahim menerajui KITA. Langkah ini sekaligus menambah jumlah parti pembangkang di negara ini, sesuatu yang dilihat kurang bijak dari segi strategi untuk menumbangkan Barisan Nasional.

Namun jawapan kepada persoalan itu terungkai dalam tempoh beberapa bulan lalu dan semakin jelas dengan langkah terbaru pemimpin parti itu menganjurkan peraduan mirip Anwar Ibrahim yang diumumkan semalam.


Peraduan itu menawarkan hadiah kereta Rolls Royce dan wang tunai RM10,000.

Hadiah lumayan itu diatur oleh Pengerusi KITA di Kedah Zamil Ibrahim adalah sebuah sandiwara yang bertujuan membantu Umno meneruskan proses mengaibkan Anwar bersabit video seks Datuk T.


Mungkin kerana “sambutan” orang ramai khususnya masyarakat Melayu terhadap cubaan untuk mengaitkan video itu kepada Anwar semakin hambar, maka KITA tampil membantu Umno memberi kekuatan baru kepada kempen anti- Anwar dengan peraduan sebegitu.

Hubungan Umno-KITA memang akrab pada masa ini, walaupun Zaid Ibrahim pernah digelar kaki kuda dan kaki arak oleh Utusan Malaysia (akhbar milik Umno) khususnya ketika beliau dalam Parti Keadilan Rakyat dan menjadi calon parti itu pada Pilihanraya Kecil Hulu Selangor 13 bulan lalu.


Namun, Zaid menjadi “anak emas” Utusan dan Umno apabila beliau mengkritik Anwar secara terbuka dan pada masa sama serangan beliau terhadap Najib menjadi makin luntur.

Pada masa sama, KITA mencatat sejarah kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pendaftaran parti itu, hanya tiga bulan selepas Zaid mengambil alih kepimpinan AKIM yang kemudian diubah menjadi KITA.


Hindraf yang membuat permohonan untuk didaftar sebagai NGO pada tahun 2009, masih belum mendapat jawapan daripada ROS.

Begitu juga dengan Pakatan Rakyat yang memohon pendaftaran untuk menjadi entiti politik seperti BN. Permohonan dibuat tahun lalu namun ROS masih membisu.


Berbalik kepada peraduan mencari mirip Anwar – Zamil berkata kereta Rolls Royce yang ditawarkan itu adalah miliknya sendiri. Kereta mewah sebegitu lazimnya sinonim dengan kekayaan yang dimiliki juak-juak Umno.

Bagaimanapun bukan harta mahu pun gaya hidup Zamil atau Zaid yang dipertikaikan. Apa yang perlu diperjelaskan ialah kenapa Zamil dan Zaid dan pemimpin KITA merelakan diri diheret dalam permainan Umno.

Ketika rakyat bergelumang dengan kenaikan harga barangan termasuk tarif elektrik yang diumumkan semalam, pemotongan subsidi barangan keperluan dan risiko cukai GST diperkenalkan, Zaid dan juak-juak dalam KITA masih sibuk dengan video lucah, malah mempunyai “ilham” menganjurkan peraduan mirip Anwar.


Namun itu hak mereka. Tentunya peraduan mirip Anwar yang diumumkan oleh Zamil bertujuan mengisi agenda tertentu yang perlu didokong oleh KITA demi kelangsungan politik parti itu sendiri.

Kesahihan video lucah itu sudahpun diputuskan di dalam mahkamah rakyat. Laporan polis yang dibuat oleh pihak yang menerima video itu menerusi pos, atau menjumpainya di masjid cukup membuktikan rasa mual rakyat dengan isu ini.

Dalam keadaan sebegitu, tampil pula pemimpin KITA menawarkan hadiah kereta Rolls Royce untuk mencari seorang yang seiras Anwar. Tujuan khusus peraduan ini adalah semata-mata untuk mengkitar semula, memerah dan menghangatkan kembali isu berkenaan demi mencari keuntungan politik.


Hakim untuk peraduan mirip Anwar ditetapkan sebagai Presiden KITA, Zaid Ibrahim sendiri, bekas Ketua Pemuda PKR Ezam Mohamad Nor yang kini bergelar Senator selepas lompat masuk Umno, serta ahli perniagaan Sharyzl Eskay – satu daripada tiga Datuk T yang mendalangi video lucah itu.

Zamil berkata peraduan berkenaan beserta dengan barisan hakim yang disediakan bertujuan “membela” nama baik Anwar. Pada anggapan orang-orang “bijak pandai” seperti Zamil dan Zaid ini mungkin kenyataan yang dianggap sinis dan menyindir secara cerdik.

Namun hakikatnya ialah, peraduan mirip Anwar anjuran mereka hanya menyerlahkan budaya politik murahan yang semakin didokong oleh Zaid dan pengikut-pengikutnya.


Posted by TINTA HIJAU DARI KAKI BUKIT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.