Followers

Tuesday, June 7, 2011

Bantahan Awal Utusan Ditolak, Saman MP Shah Alam Didengar 25 Julai


KUALA LUMPUR : Perbicaraan penuh saman fitnah yang difailkan ahli parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad terhadap Utusan Melayu (Malaysia) akan didengar pada 25 Julai ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr Prasad Sandosham Abraham menetapkan 25 dan 26 Julai untuk mendengar kes itu selepas menolak permohonan Utusan Melayu atas isu-isu awal sama ada perkataan disebutkan dalam satu rencana disiarkan akhbar itu merujuk kepada Khalid.

Peguam Rohanidah Shafee yang mewakili Utusan Melayu memberitahu pemberita bahawa mahkamah mendapat rencana yang disiarkan kemungkinan merujuk kepada plaintif.

Mahkamah membuat keputusan itu di kamar selepas mendengar hujah daripada Rohanidah dan peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Khalid.

Dalam kes yang difailkan tahun lalu, Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam menamakan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak dan penerbit Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sebagai defendan.

Khalid mendakwa bahawa pada 11 Sept, 2009, Aziz, sebagai Ketua Pengarang Kumpulan untuk kedua-dua akhbar itu, dengan niat jahat, membenarkan penerbitan dan pencetakan perkataan memfitnah terhadap beliau di muka hadapan akhbar tersebut.

Beliau juga berkata bahawa artikel itu bertajuk "Zulkifli bidas "Pak Janggut" secara langsung atau tidak langsung merujuk kepadanya walaupun nama beliau tidak disebut.

Khalid mendakwa bahawa perkataan itu merujuk kepadanya kerana beliau adalah ahli parlimen Shah Alam dan beliau seorang yang berjanggut.

Beliau mendakwa bahawa perkataan itu, dalam interpretasi asal dan biasanya, bermakna beliau bersedia untuk memanipulasi surah dalam Al-Quran untuk mempertahan perkara pembinaan sebuah kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam; beliau tidak menghormati Al-Quran; dan beliau seorang yang menyeleweng.

Katanya perkataan, yang tidak benar, telah memfitnah beliau dan menyebabkannya mengalami penghinaan dan mereka dengan sengaja menyiarkan perkataan-perkataan itu tanpa membuat sebarang pengesahan.

Khalid berkata artikel itu dibuat dengan niat jahat untuk mensensasikan berita bagi menjual kedua-dua akhbar tersebut.

Beliau menuntut ganti rugi am, teladan dan kemudaratan teruk, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Defendan, dalam kenyataan pembelaan yang difailkan pada 7 Jan, berkata berita itu diterbitkan oleh mereka berdasarkan komen ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dalam blognya pada 9 Sept, 2009.

Mereka mendakwa bahawa berita itu diterbitkan lagi sebagai kenyataan awam Zulkifli.
 
TVS News

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.