Followers

Friday, April 1, 2011

Malikul Sembab Menjadi Bingung Dan Marah

Tindakan pihak tertentu, termasuk pertubuhan komuniti Cina semalam, yang terus membangkitkan isu novel kontroversial Interlok sangat tidak bertanggungjawab dan berniat jahat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Sehubungan itu Muhyiddin menegaskan, isu tersebut tidak harus dibangkitkan kerana sudah selesai.

Malah kata beliau, kerajaan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak berhubung isu itu kerana keputusan muktamad telah pun dicapai.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan sudah pun mengumumkan formula penyelesaian di Parlimen minggu lalu.

“Jadi kita akan pegang pada itu,” kata beliau di Pagoh, Johor hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan tidak akan berkompromi kerana ia melibatkan keselamatan negara.

“Saya tahu muslihat mereka dan saya nak tegaskan kita tidak akan tunduk, proses pembelajaran akan berjalan seperti biasa serta proses penambahbaikan akan dibuat,” katanya.

Dalam komen kepada The Malaysian Insider hari ini, Persatuan Penulis Nasional (Pena) menyifatkan desakan dibuat pertubuhan Cina semalam sebagai mahu “mencuba nasib” untuk “menguji” Putrajaya setelah masyarakat India berjaya dalam tuntutan mereka berhubung novel kontroversial Interlok.

Semalam, beberapa pertubuhan Cina secara terbuka mengkritik karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu sambil menyifatkannya bersifat rasis.

Beberapa wakil masyarakat Cina menggambarkan watak orang Cina dalam novel itu sebagai tamak, “tahi candu” dan kaki perempuan semata-mata untuk memberikan kelebihan kepada orang Melayu.

Pertubuhan-pertubuhan itu bagaimanapun tidak mahu novel itu disunting seperti mana yang dituntut masyarakat India, yang tidak gembira dengan perkataan “paria” – tetapi mahu digugurkan daripada digunakan sama sekali.

Sebelum ini, novel kontroversi yang kini dijadikan buku teks tingkatan lima berdepan dengan bantahan daripada masyarakat India kerana menggunakan perkataan “paria” dan kini Kementerian Pelajaran berdepan dengan desakan dari masyarakat Cina pula.

Novel Intelok yang ditulis pada 1971 menggambarkan perjuangan orang Melayu, Cina dan India dalam era prakemerdekaan.

Minggu lalu, Muhyiddin berkata, Interlok akan tetap digunakan di sekolah dan telah mengarahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyunting semula novel itu.

Muhyiddin juga berkata kementeriannya juga akan menyediakan glosari bagi menjelaskan frasa-frasa dan konsep-konsep kepada pelajar.

Novel Interlok menjadi kontroversi setelah diperkenalkan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan, kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India.

Kerajaan bagaimanapun bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif itu. 

sumber: Kerabu Bersuara

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.