Followers

Friday, April 1, 2011

Bung Moktar Bikin Dewan Kecoh Tuduh Wakil PR 'Syaitan Besar'

Bila depa kena, tahu pulak naik angin tapi masa depa yang buat (ganggu), tak sedar pulak kebiadapan depa ganggu ucapan wakil Pakatan Rakyat (PR) dalam dewan.

Datuk Bung Moktar Radin (BN - Kinabatangan)

Semalam, seorang wakil Barisan Nasional (BN), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) telah menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat. Belum pun reda dengan kenyataannya sebelum ini konon pemandu wanita adalah penyumbang kemalangan jalan raya, hari ini pulak dah bikin dewan kecoh.

Kekecohan yang ditimbulkan Bung apabila beliau menggelarkan beberapa wakil rakyat PR sebagai 'syaitan' sewaktu sesi soal jawab lisan.

Menurut laporan Harakahdaily, gelaran itu pada awalnya Bung tujukan kepada M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang bangun 'mengganggu' ketika beliau mengemukakan soalan tambahan mengenai kursus peningkatan kemahiran rakyat khusunya kepada golongan wanita kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau bertanya sama ada kerajaan bercadang atau tidak untuk menyediakan kursus kemahiran seperti kursus memasak, membuat kuih dan kraftangan kepada rakyat di Sabah.

Ketika itu, Kulasegaran bangun dan bertanya adakah perlu diadakan kursus memandu kepada golongan wanita.

Bung menuduh Kulasegaran cuba memanipulasi kenyataannya berhubung pemandu wanita sebelum ini untuk memancing golongan itu agar mengundi Pakatan Rakyat.


M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat)

"Mereka manipulasi kenyataan saya untuk tarik undi golongan wanita supaya sokong Pakatan Rakyat.

"Sudahlah, jangan tipu rakyat. Mereka faham apa yang saya cakap," katanya dengan suara yang agak tinggi.

Ketika itu kedengaran juga suara Datuk Mahfuz Omar (PAS -Pokok Sena) yang berkata bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga tidak bersetuju dengan kenyataan Bung itu.

Bung seterusnya berkata, ramai 'syaitan' yang mengganggunya namun 'syaitan-syaitan ini akan direjam'.

"Kalau pun ada bisikan syaitan di pagi ini, akan direjamlah mereka," katanya.

Kulasegaran bangun membantah perkara itu dan menganggap Bung mengeluarkan perkataan yang tidak baik dalam dewan.

"Apa ini Yang Dipertua...tiba-tiba cakap syaitan," katanya.

Namun Bung terus bertanya soalan dan setelah menghabiskan soalannya, Bung secara tiba-tiba memandang Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan menggelarnya 'syaitan besar'.

"Ini Shah Alam memang syaitan yang besar," katanya.

Khalid bangun dan meminta Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyuruh Bung menarik balik kata-katanya.

"Yang Dipertua, dia (Bung) panggil saya syaitan besar. Minta tarik balik. Ini dewan yang mulia, kena jaga kata-kata," katanya.

Bung terus mempertahankan diri dengan mendakwa mereka yang mula mengganggunya.

Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) pula bangun mempertahankan Bung dengan meganggap wakil Pakatan Rakyat yang tidak menghormati dewan.


Datuk Mahfuz Omar (PAS - Pokok Sena)

Junaidi bagaimanapun menegaskan, dalam apa keadaan sekalipun, mana-mana wakil rakyat tidak boleh mengeluarkan kata-kata kesat.

"Saya faham itu Yang Berhormat. Tapi itu tidak membenarkan sesiapa pun menggunakan perkataan yang tidak betul dalam dewan. Perkara ini saya pertahankan. Kalau tidak semua orang boleh guna perkataan sesuka hati," tegasnya.

Mahfuz pula bangun dan menyokong pendirian Junaidi itu.

"Yang Dipertua, kalau cakap dia terganggu, kita pun selalu terganggu, tapi kita terbuka. Saya pun selalu diganggu. Tapi tak adalah sampai nak menggunakan perkataan yang bagi saya sangat buruk," katanya.

Mereka seterusnya mendesak Bung menarik balik perkataan 'syaitan' itu sehingga Bung terpaksa mengalah dan menarik balik perkataan itu.


Read more: http://warkahdaily.blogspot.com/2011/04/bung-bikin-dewan-kecoh-tuduh-wakil-pr.html#ixzz1ICG0A4NW

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.