Putrajaya lancar Teraju kukuh agenda ekonomi Bumiputera
Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi memperkukuhkan lagi agenda pembangunan golongan berkenaan. Perdana Menteri berkata agensi itu akan berfungsi bagi meneraju, mengurus serta memacu penyertaan golongan Bumiputera dalam ekonomi melalui pelbagai inisiatif baru serta sedia ada.
Teraju akan memberi tumpuan kepada lima perkara iaitu keusahawanan dan penciptaan kekayaan; pembiayaan; pendidikan dan penggajian; penilaian institusi dan instrumen polisi serta pengurusan stakeholders, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) di pejabatnya di sini hari ini.
Najib (gambar) berkata bagi memastikan pelaksanaan inisiatif Bumiputera yang berkesan, peranan Teraju akan meliputi beberapa aspek dan dimensi.
“Kita minta supaya Teraju dapat memastikan hasil dalam jangka waktu terdekat. Ini meliputi tindakan-tindakan yang boleh membawa kejayaan dalam masa terdekat.
“Teraju juga diminta meningkatkan keberkesanan institusi termasuk mengkaji sama ada terdapat pertindihan dengan pelbagai badan dan institusi pada masa ini dan melihat keberkesanan institusi itu serta segala program yang sedang dilaksanakan,” katanya, sambil menyatakan bahawa Teraju juga akan berfungsi sebagai urusetia untuk MTAB.
Perdana Menteri berkata Teraju juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk mengenal pasti program-program baharu supaya segala tindakan yang dilaksanakan dapat diselaraskan.
Bagi menentukan penilaian inisiatif yang berkesan, katanya Teraju akan melengkapkan pangkalan datanya dan membuat pemantauan terhadap program-program yang dilakukan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.