Followers

Saturday, January 22, 2011

Prof. Dr Hassan Hasbullah Ramalan dan Analisis Yang Sangat Baik Untuk Dun Tenang Tenang Tidak Boleh Dijadikan Tanda Aras Adakan PRU-13 Mengejut, Kata Penganalisis




Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Tenang tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menentukan kejayaan mana-mana parti khususnya dalam pilihanraya umum ke-13 ini,kata penganalisis politik Dr Hassan Hasbullah.

Sebelum ini , Umno-Barisan Nasional meletakkan sasaran kemenangan besar majoriti sebanyak 5,000 undi yang dilihat satu penanda aras untuk memanggil pilihanraya umum ke-13 secara mengejut dalam jangka masa lebih awal.

Sementara itu kempen lapan hari pilihan raya kecil Tenang bermula hari ini selepas proses penamaan calon selesai pagi ini. Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan PAS.

BN menamakan Mohd Azahar Ibrahim, 39, yang sebelum ini merupakan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS mengumumkan bekas guru, Normala Sudirman, 38, sebagai calon parti itu.
Dr Hassan Abdullah yang dihubungi TV Selangor berkata DUN Tenang yang sejarahnya Umno-BN tidak pernah kalah, tidak boleh menjadikan keputusan pilihanraya kecil ini untuk memanggil pilihanraya umum lebih awal kerana sikap pengundi sentiasa berubah-ubah.

"Semua pilihanraya kecil yang berlaku di negara kita tidak mungkin menjadi penanda aras kepada mana-mana parti politik untuk mengatakan kemenangan pada parti-parti politik tersebut  sebagai satu keselesaan kepada mana-mana parti politik.

Masyarakat sentiasa berubah-ubah,manakala Dewan Undangan Negeri Tenang adalah sejarahnya menyatakan bahawa Barisan Nasional tidak pernah kalah di kawasan ini, tetapi undinya sangat merosot pada 2008 dan jika keputusan pada kali ini,Barisan Nasional mendapat undi majoriti sebanyak 5,000 masih juga bukan satu petunjuk, kerana ia merupakan satu pilihanraya kecil di mana semua operasi di peringkat nasional tertumpu ke situ sebagaimana peristiwa di Pilihanraya Kecil DUN Galas dan sebagainya," katanya.

Tambah Dr Hassan lagi bahawa banyak janji-janji dalam pilihanraya kecil ditaburkan dan seumpama drama yang jelas tidak boleh digunakan sebagai tanda aras kejayaan sesuatu parti.

"Sebab itu kita dapati bahawa banyak janji-janji bahawa ataupun manifesto yang ditaburkan pada masa pilihanraya kecil jarang terlaksana sepenuhnya, ia tidak ubah seperti sebuah drama dalam merayakan demokrasi dan tidak memberi petunjuk kepada proses pilihanraya yang sebenar," katanya lagi.

Dr Hassan juga menyatakan pandangannya bahawa terdapat beberapa faktor penentu pengundi yang dijadikan asas  dalam pilihanraya kecil DUN Tenang ini.

"Di Dewan Undangan Negeri Tenang sebenarnya terdapat lima faktor utama,pertama ialah faktor kuasa kelas menengah Melayu di mana kebanyakkan kuasa kelas menengah Melayu masih lagi berpihak kepada Barisan Nasional dan mereka begitu memerhati perkembangan pihak Pakatan Rakyat ,manakala pengundi Cina kelihatan nyata dan amat jelas sekali berpihak kepada Pakatan Rakyat manakala pengundi India melihat kepada perkembangan di peringkat nasional.

Jadi kita dapati penentu di Tenang adalah pengundi Cina samada Pakatan Rakyat memperolehi keseluruhan pengundi Cina, dia akan menjejaskan pencapaian Barisan Nasional manakala jika hanya anggaran 30-40 peratus berpihak kepada Pakatan Rakyat maka keputusan tidak akan berubah seperti tahun 2008  di antara majoriti pada 2004," katanya lagi.

Dr Hassan juga yakin,golongan muda bakal menjadi antara faktor penentu besar di DUN Tenang ini.
"Pilihanraya pertama di bahagian Selatan ini untuk tahun ini seperti ada satu arus baru kerana selepas ini akan berlaku di Merlimau , maka kuasa kedua yang terbentuk  adalah pengundi muda  kerana pengundi-pengundi muda adalah besar di Tenang," katanya.

Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos. 
Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus).

Mengikut pecahan umur, seramai 3,271 pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun, 3,602 (40-49 tahun), 2,788 (50-59 tahun), 1,897 (60-69 tahun), 1,188 (70-79 tahun), 268 (80-89 tahun) dan lebih 90 tahun pula 70 orang.


Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Umno-BN pada 17 Disember lepas. 
TVSNEWS

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.