WarkahDaily – Amat malang juga negara kita ni apabila kerajaan BN sekadar melepas batuk di tangga dalam membanteras jenayah di negara ini. Jika diperhatikan, pihak polis lebih ramai dikerahkan untuk menghalang kebangkitan rakyat sendiri bukan untuk membanteras jenayah yang semakin menjadi-jadi di negara ini.
Pihak polis seolah-olah dah jadi pengawal kepada parti kerajaan bukan lagi untuk menjaga keharmonian rakyat.
Bukti, jika rakyat cuba menyatakan ketidakpuasan hati apabila ada kenaikan harga barang atau membantah akta yang tidak berperikemanusiaan seperti ISA, kerajaan akan gunakan pihak polis untuk menundukkan suara rakyat, bukannya mahu berdepan dan menyelesaikan masalah berkenaan.
Lihat sahaja waktu pilihanraya, polis akan dikerah beribu-ribu anggota ke kawasan pilihanraya. Seolah-olah akan berlakunya porak-peranda atau semacam negara dalam darurat. Semuanya untuk menakut-nakutkan para pengundi keluar membuang undi.
Harakahdaily - Yang Di Pertua PAS Kawasan Maran Ustaz Ramli Abdul Rahman, menuntut pihak kerajaan menempatkan anggota yang mencukupi serta cekap di Balai Polis Kampung Awah sesuai dengan peningkatan jumlah penduduk kampung dan juga keluasan kawasan kawalan.
Katanya, ini penting bagi mengawal keselamatan penduduk dan meningkatkan usaha memerangi jenayah di sekitar Kampung Awah dan Mukim Bukit Segumpal yang makin berleluasa akhir-akhir ini.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Bertindak Anti Jenayah (BBAJ) Ahli Kariah Masjid At-Taqwa, Mukim Bukit Segumpal berkata, sejak tiga tahun kebelakangan ini kejadian jenayah acap kali berlaku di daerah ini terutama melibatkan kawasan mereka.
Ramli berkata demikian ketika diminta mengulas tragedi seorang pemuda PAS parah apabila bahagian mukanya dikelar ketika bergelut dengan tiga penyamun bersenjatakan parang dalam satu kejadian samun di Kampung Bukit Lada di sini, awal pagi Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa, Roshadi Rosli, 39, yang tinggal berdua bersama ibunya, Habesah Maamor, 61, sedang tidur di bilik berasingan apabila dimasuki penyamun. Habesah pula tangannya diikat ke belakang dan penyamun berjaya membawa lari wang sebanyak RM600 serta barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM3,000.
Roshadi kini sedang menerima rawatan dan pembedahan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh setelah diberi bantuan oleh jiran.
“Sejak tiga tahun kebelakangan ini kejadian jenayah acap kali berlaku di daerah ini terutama di sekitar Kampung Awah dan Mukim Bukit Segumpal seperti jenayah pecah rumah, samun dan penipuan yang semakin menjadi-jadi sehingga melibatkan kerugian harta benda dan ketakutan berterusan di kalangan penduduk.
“Sebab itu gesa pihak kerajaan menempatkan anggota polis secukupnya. Saya difahamkan jumlah anggota keselamatan itu di seluruh daerah Maran hanya 235 orang. Empat puluh lima anggota bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah sementara di Balai Polis Pekan Awah hanya ada 10 anggota sahaja.
“Sedangkan seluruh penduduk di Daerah Maran berjumlah 120,838 orang (atau pada nisbah 1:514 berbanding standard Interpol 1:250). Justeru jumlah anggota keselamatan yang ada tidak mencukupi untuk menjaga dan mengawal keselamatan rakyat,” jelasnya.
Ramli yang telahpun melawat keluarga Roshadi, juga menggesa pihak polis membuat rondaan berkala di seluruh kawasan mukim di samping mengambil tindakan pantas dan cekap setelah mendapat aduan daripada orang ramai atau mangsa.
Sebelum ini BBAJ Mukim Segumpal pernah menghantar satu memorandum berserta kumpulan tandatangan penduduk setempat kepada Menteri Besar Pahang yang antara lain mendesak pihak kerajaan dan pihak keselamatan supaya mengambil tanggungjawab mengawal sepenuhnya gejala tersebut.
Memorandum tersebut turut menuntut pihak kerajaan menempatkan anggota yang mencukupi serta cekap di Balai Polis Kampung Awah sesuai dengan jumlah penduduk kampung dan juga keluasan kawasan kawalan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.