Followers

Sunday, October 3, 2010

DS ANWAR Memberi Amaran Calon Calon Bertanding !


Pemilihan PKR: Anwar kecam Zaid

LONDON, 3 Okt — Dilihat sebagai serangan ke atas bakal calon jawatan timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memberi amaran kepada calon-calon bertanding agar tidak sama sekali menggunakan media milik Umno, yang dilihat sebagai ‘musuh’ Pakatan Rakyat.

“Calon-calon (yang bertanding) seharusnya berwaspada agar tidak dieksploitasi oleh media Umno untuk menyerang polisi-polisi dan pemimpin-pemimpin kita.

“Jangan benarkan parti (PKR) digunakan oleh media Umno dan propaganda (mereka),” kata pemimpin ini pada satu majlis di sini hari ini.

Anwar yang juga Ketua Umum PR mengingatkan ratusan rakyat Malaysia di sini bahawa PKR berjuang untuk melakukan reformasi dan tidak memerlukan “media Umno atau duit.”

Beberapa pemimpin parti mengecam Zaid, bekas menteri undang-undang, ekoran dakwaan beliau bahawa tawarannya untuk bertanding kerusi nombor dua dihalang dan membayangkan ia kemungkinan arahan penyokong-penyokong Naib Presiden Azmin Ali yang turut bertanding kerusi nombor dua parti.

Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat dan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan ditemu bual oleh Mingguan Malaysia Ahad lalu dengan tajuk “Jangan halang saya bertanding”.

Pelbagai pihak dalam PKR membidas tindakan itu dengan ada yang menyindir beliau yang dipecat Umno hujung tahun 2008 dan menyertai PKR pertengahan 2009 sebagai ‘ejen Umno’.

“Saya sebenarnya tidak tahu secara sahih, ia hanya percakapan orang. Setakat ini tidak ada orang menyokong saya secara terbuka.

“Saya juga tidak tahu sama ada Azmin disokong oleh Anwar secara terbuka.

“Pada saya perkara ini tidak begitu penting sangat kerana dalam politik sokongan yang nampak jelas pun tipu juga, yang tidak cakap apa-apa pun sokong kita. Saya tidak terlalu bimbang dari segi wayang atau permainan ini kerana yang lebih penting ahli- ahli faham apa isu di dalam pemilihan ini,” kata Zaid dalam wawancara itu.

Ini kali kedua Anwar mengecam Zaid secara tidak langsung berhubung pendirian beliau tentang perjalanan pemilihan parti.

Sebelum ini Anwar, bekas timbalan perdana menteri dan bekas timbalan presiden Umno, menolak dakwaan Zaid bahawa “budaya Umno” mula wujud dalam parti dan memberi amaran kepada ahli-ahli PKR tentang kemungkinan munculnya “kuda-kuda Trojan” dalam parti.

Ketua Pembangkang itu juga mengingatkan calon-calon agar menghormati proses pemilihan yang menggunakan sistem langsung dan biarkan ahli-ahli memutuskan dengan mendengar sendiri kepada calon tanpa memudaratkan komitmen parti dalam melakukan pembaharuan.

Kata Anwar, tindakan meluahkan rungutan dalam media ketika pemilihan parti seolah-olah mengikut rentak agenda Barisan Nasional (BN) untuk membangkitkan masalah dalaman PKR dan menjauhkan diri daripada isu lebih besar seperti rasuah.

“Kesemua pemimpin adalah penting, tetapi sesetengah akan menang dan sesetengah yang lain akan kalah,” kata Anwar sambil menegaskan, mereka yang menang tidak harus menggondol semua manakala yang kalah tidak wajar mengetepikan agenda besar PKR mahu membawa pembaharuan.

Kerusi timbalan presiden bakal ditanding Azmin, Zaid dan seorang lagi naib presiden Mustaffa Kamil Ayub.

Bagaimanapun ada dua lagi nama yang turut layak untuk bertanding kerusi itu iaitu Menteri Besar Selangor Tan Khalid Ibrahim dan Pengarah Strategi PKR Tian Chua.

PKR meminda perlembagaannya tahun lalu untuk mengadakan pemilihan parti menggunakan sistem satu ahli satu undi.

Kira-kira 400,000 ahli akan mengundi untuk memilih kepimpinan pusat mulai hujung bulan ini selama tiga minggu sebelum kongres khas parti hujung bulan depan.

Mesyuarat agung tahunan cabang dan pemilihan cabang yang menyaksikan proses pencalonan berakhir hari ini dengan tujuh cabang ditangguhkan ekoran kekecohan minggu lalu.TMI

Posted by TINTA HIJAU DARI KAKI BUKIT at 10:27:00 AM 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.