Followers

Wednesday, September 15, 2010

UMNO-BN Bersedia Untuk Jadi Pembangkang Selepas PRU 13 !!






Tian Chua: Pembangkang jadi arus perdana biarpun belum berkuasa - Lim Hong Siang

Gerakan Reformasi yang tercetus pada tahun 1998 memasuki babak baru, apabila Parti Keadilan Nasional ditubuhkan pada tahun 1999. Bagaimanapun, sentimen yang memuncak lantaran daripada pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Anwar Ibrahim hanya memberikan lima kerusi parlimen kepada parti yang diterajui isterinya, Wan Azizah Wan Ismail dalam PRU ke-10.

Sepanjang tempoh 12 tahun ini, kita menyaksikan bagaimana perjuangan melalui demonstrasi jalan raya diorganisasikan untuk menubuhkan parti politik, kemudian memasuki gelanggang untuk bertarung mengikut peraturan sistem pilihan raya. Parti Keadilan terus menjunam apabila diberi tamparan sengit dalam PRU ke-11 pada tahun 2004, dengan hanya satu kerusi Parlimen yang tinggal.

Tanpa diduga, parti yang dianggap "tidak relevan" oleh musuhnya ini bangkit sebagai parti pembangkang terbesar, dengan 31 kerusi parlimen dalam PRU ke-12 pada tahun 2008. Malah, regim Barisan Nasional (BN) semakin menghampiri sempadan keruntuhannya, apabila Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mengasak dengan "rampasan kuasa pada 16 September 2008".

PKR, bersama rakan partinya dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PAS bagaimanapun gagal menawan Putrajaya pada tarikh yang dijanjikan.

Sebaliknya, PKR dilanda gelombang "keluar parti", apabila ADUN dan ahli parlimen yang menyarung jersinya dalam PRU ke-12, meninggalkannya seorang demi seorang, sehingga PKR kehilangan kedudukan sebagai parti pembangkang terbesar dalam Dewan Rakyat.

Sungguhpun demikian, Tian Chua, reformis yang terlibat dalam gerakan ini sejak detik permulaannya, mengutarakan pandangan yang berbeza ketika menilai "naik-turun"-nya PKR. Beliau melihat perjuangan PKR sebagai versi sejarah perkembangan masyarakat tempatan yang telah "dimampatkan", malah memberi pengaruh dan impak terhadap persekitarannya.

Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 11 Julai 2010, Tian Chua (gambar kiri) mengulas bagaimana gerakan Reformasi mengubah lanskap politik Malaysia, malah mendominasi arus perdana sebelumnya berkuasa, sehingga parti pemerintah terikut-ikut dengan rentak mahupun corak politik yang dibawa Reformasi.

"Pantang" menjadi norma

Bukan seperti parti politik tempatan yang lain, Parti Keadilan bermula dengan gerakan rakyat. "Gerakan rakyat bermula terlebih dahulu, kemudian barulah kami membincangkan penubuhan parti politik, apakah idea yang nak 'dijaja' kepada rakyat," kata Tian Chua.

"Sepanjang proses ini pula, suara yang berbeza kedengaran. Bergabung atau tidak (dengan Parti Rakyat Malaysia), nisbah komposisi agama, demokrasi, sosialisme, nasionalisme dan sebagainya, kesemuanya terangkum. Dan proses ini seharusnya menjadi perdebatan peringkat nasional. Perdebatan dan perbincangan ini sedikit sebanyak memberi impak kepada persekitaran kita," ulasnya.

Tian Chua menjelaskan bagaimana perbahasan dan perbincangan tersebut, sedikit-sebanyak membawa perubahan kepada parti politik yang lain. PAS misalnya, terbahagi kepada sekta "Erdogan" dengan "ulamak", "pro-UG (Kerajaan Perpaduan)" dengan "pro-PR". Sementara itu, DAP mengatur langkahnya menuju ke arah kemajmukan. Lebih-lebih lagi, kedua-dua DAP dan PAS yang saling bertentangan akhirnya mencapai muafakat untuk membentuk pakatan, mengorak satu langkah yang besar dalam politik, menurut Tian Chua.

Dari segi budaya politik, beliau mengimbas bagaimana ceramah politik dahulu diadakan secara eksklusif untuk kaum masing-masing, yang dianggap sebagai satu kebiasaan, kini berubah menjadi pentas yang mewajibkan kehadiran pemimpin daripada tiga parti politik, untuk berucap kepada hadirin yang berasal daripada semua keturunan kaum.

"Dulu bila ada ceramah politik, orang Cina biasa tidak hadir, (dengan alasan) takut huru-hara berlaku, atau kesesakan jalan raya dan sebagainya. Kini, tiada lagi tanggapan sebegitu," kata Tian Chua. Malah, Tian Chua menganggap PKR berjaya mengubah fikiran yang sekian lama ini membelenggu komuniti Cina, iaitu "warga kelas kedua", kepada konsep "rakyat ialah bos", setelah menyahut slogan daripada gerakan NGO.

"Dalam tempoh 10 tahun ini, kita menyaksikan banyak perubahan. Saya melihat perubahan ini sebagai prestasi kita. Sama ada PKR berjaya mengambil alih Putrajaya dan membentuk kabinet, bukan perkara yang paling penting. Namun, kita telah mengorak satu langkah yang besar dalam politik sepanjang proses ini berlangsung. Banyak 'pantang-larang' yang berjaya diatasi," katanya.

Pengalaman di PRK Teluk Kemang pada tahun 2000 masih memahat dalam ingatan Tian Chua. Seorang pemimpin pembangkang ketika itu berkata, "Biar DAP saja yang turun ke kawasan Cina, paling baik Nik Aziz (Mursyidul Am PAS) jangan datang. Mereka yang berkopiah, bertudung sehingga menutup muka, jangan turun. Orang Cina di kampung takut."

Bagaimanapun, Tian Chua berkata Parti Keadilan Nasional tetap ingin menguji reaksi pengundi, dan mengatur agar Nik Aziz turun berkempen untuk Barisan Alternatif ketika itu, akhirnya berjaya menembusi benteng perkauman.

Menurut Tian Chua, Parti Keadilan menjadikan sesuatu yang dianggap "pantang" dahulu, bertukar menjadi sesuatu yang norma atau kelumrahan. Kini, Barisan Nasional perlu mengejar langkah dan mengikut rentak pembangkang di sebaliknya. Misalnya, slogan "1Malaysia" oleh Najib Razak sebagai reaksi kepada "Keadilan untuk Semua" (oleh PKR), "PAS untuk Semua" (oleh PAS) dan sebagainya.

UMNO-BN menyusul jejak pembangkang

Bukan itu sahaja, perubahan yang ketara berlaku dalam UMNO-BN, mengikut pengamatan Tian Chua. UMNO-BN kini perlu mendampingi media internet, mewajibkan pemimpinnya membuka blog sendiri, padahal melabelkan semua laman web sebagai "pembohong" sebelum ini. Malah, UMNO perlu melabur dalam media seperti Sinar Harian, yang mengambil pendekatan seperti Harakah, kerana sedar bahawa akhbar seperti Utusan Malaysia tidak lagi membawa keuntungan.

"Dulu demonstrasi dianggap budaya keganasan. Tetapi kini NGO seperti PERKASA perlu ditubuhkan dan mendesak dengan pendekatan demonstrasi untuk mempertahankan kepentingan Melayu. Malah, Ibrahim Ali (Presien PERKASA) mendakwa dirinya mempunyai 30 NGO sebagai bentengnya. Ini kerja SUARAM beberapa tahun yang lalu, mengumpul NGO untuk mendesak agar ISA dimansuhkan..." kata Tian Chua sambil ketawa, yang juga bekas anggota SUARAM.

Tian Chua mengalu-alukan perkembangan sedemikian, yang ditafsirkannya bahawa kerajaan telah merestui pendekatan yang diambil pembangkang sekian lama ini. Demonstrasi bukan lagi pendekatan yang dinafikan bulat-bulat, malah kerajaan sanggup merendah diri untuk bersaing dengan pembangkang pada tahap gelanggang ini.

"Mereka mahu mengadakan demonstrasi menuntut hak keistimewaan Melayu, mereka mahu terbitkan Suara Perkasa. Biarpun nadanya mungkin tidak sedap didengar, tapi tak mengapa, biarlah kita bersaing. Biar pembaca tentukan sama ada Harakah lebih laris ataupun Suara Perkasa, demonstrasi kekalkan ISA atau mansuhkan ISA lebih banyak orangnya..." katanya.

"Pembangkang bukan lagi pembangkang. Ia telah menjadi arus perdana. Ia belum lagi memegang kuasa, tetapi ia menjadi arus perdana pemikiran masyarakat." Demikianlah hasil perjuangan Reformasi selama 12 tahun oleh Parti Keadilan, menurut Tian Chua.

Sistem pemilihan baru menjamin PKR sebagai Reformasi

Sesungguhnya, PKR merupakan sebuah parti "reformasi" yang ditaruh harapan tinggi untuk membawa perubahan kepada politik tanahair. Namun demikian, sesetengah pejuang reformasi mula gelisah, apabila menyaksikan bekas pemimpin BN dan "tokoh kapitalis" (lebih-lebih lagi digelar kroni BN seketika dahulu) menyertai parti ini selepas PRU ke-12. Tidak kurang yang tertanya-tanya, seandainya golongan tersebut menggantikan pimpinan sedia ada yang komited kepada agenda reformasi sejak awal lagi, apakah PKR masih mampu bertahan sebagai parti reformasi?

Tian Chua menolak andaian ini, "Sejak zaman reformasi lagi kami mengharapkan kemasukan mereka, dengan harapan Parti Keadilan boleh meluaskan pengaruhnya. Itu reaksi tidak berkeyakinan, seandainya saya cuma khuatir bahawa kedudukan diri saya dipinggirkan. Saya tidak melihat ia sebagai satu masalah, sebaliknya kemasukan mereka memperluaskan pengaruh PKR, dan secara tidak langsung meningkatkan pengaruh saya."

Sambil berseloroh Tian Chua menyambung, "Seandainya saya menjadi pembangkang selama-lamanya, maka pengaruh Tian Chua sekadar cukup untuk menempah satu kedudukan dalam mitos sahaja. Tidak mungkin untuk kami melaksanakan agenda Reformasi yang kami cita-citakan selama ini."

Tetapi, bukankah kita memerlukan orang yang sesuai untuk berada pada tempatnya, ketika membincangkan pelaksanaan reformasi?

"Buat masa sekarang, kita tak boleh bergantung kepada (keadaan di mana) orang yang berada pada tempat itu untuk menyelesaikan masalah. Kalau sebegini, ia akan menyaksikan keadaan di mana Tian Chua (yang dianggap bercorak reformis) enggan melepaskan tempat itu, (kerana) ...'hanya Tian Chua yang tahu bagaimana reformasi dijalankan' (jikalau mengikut andaian sebegitu)," penjelasan Tian Chua menggelakkan wartawan.

Tian Chua sebaliknya memandang berat sistem pemilihan parti baru yang bakal dilaksanakan pada hujung tahun ini, "Jadi, ia kembali kepada persoalan - seandainya parti kami adalah parti untuk semua, seandainya semua ahli parti kami berhak untuk mengundi, maka kemungkinan golongan opportunist (mereka yang mengambil kesempatan) untuk dinaikkan akan berkurang. Politik wang akan berkurang. Ini kerana sistem perwakilan berbeza dengan sistem pengundian terus. Saya tidak berani berkata ia sempurna pada kali pertamanya, dia masih memerlukan masa untuk dipraktikkan."

"Tetapi, seandainya ia bergantung kepada Tian Chua untuk menentukan halatuju reformasi, dengan memegang kerusi yang sedia ada, maka ia merupakan petanda bermulanya pemeritahan berlunaskan citarasa seseorang individu. Dan ia mungkin titik permulaan kemerosotan parti kami."

Sambil berjenaka Tian Chua berkata, "Kelak, saya mungkin mereka-cipta sistem pemilihan yang yang paling menguntungkan diri saya, agar memperkukuh pengaruh saya."

Beliau tetap berpegang kepada pendiriannya, bahawa jaminan sistem adalah lebih penting daripada individu. "Persoalannya bagaimana kami menurunkan kuasa, untuk memastikan bahawa parti ini tetap parti reformasi, walaupun ketika ketiadaan veteran seperti kami. Kepada siapa ia bergantung? Ia tidak bergantung kepada Tian Chua, bukan Chua Jui Meng (nama yang diungkit wartawan sebagai contoh bekas pemimpin BN), bukan Anwar Ibrahim, tetapi sama ada mekanisme parti kita sempurna."

Tian Chua meneruskan, "Kami tidak berharap PKR terkubur. Seandainya PKR terkubur, ia akan membawa kesimpulan bahawa parti majmuk akan menemui ajal pada akhirnya, pendemokrasian yang terlalu idealistik akan membawa perpecahan kepada parti. Huru-hara seandainya kuasa tidak dipusatkan, lantas menghilangkan keyakinan umum. Kalau begitulah kesimpulannya, maka ia memberi kesan yang negatif untuk masa depan, apabila orang lain ingin menubuhkan parti baru."

Tian Chua menyatakan hasratnya, "Sebaliknya, saya berharap, orang akan menjadikan PKR sebagai teladan apabila ingin menubuhkan parti baru pada masa depan. Sistem pemilihan parti terus dijadikan prasyarat utama. Riuh rendah lantaran daripada ruang demokrasi memberi kesan yang positif...

Dicatat oleh ELBI RISALAH 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.