Followers

Tuesday, September 14, 2010

Perlukah Perkara Sebegini Diingatkan?


Oleh kerana mangsa adalah orang Melayu dan suspek adalah bukan Melayu, maka seorang menteri mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan isu pembunuhan jutawan kosmetik ini sebagai isu perkauman.

Persoalannya, perlukah perkara sebegini diingatkan? Jika perlu, mengapa? Jika tidak diingatkan, apa pula yang akan berlaku?

Dapat ditebak, ingatan ini ditujukan kepada orang-orang politik kerana kebiasaannya isu-isu berkaitan bangsa dijuarai orang politik.

Cuma persoalannya, adakah mana-mana orang politik yang telah membangkitkan isu ini dari sudut perkauman?

Saya cuba mencari-cari atau mendengar-dengar isu ini dijadikan isu perkauman oleh orang politik. Namun saya belum menemuinya secara pasti.

Menteri Umno ini membangkitkan isu ini mungkin kerana ingin menunjukkan keprihatinannya terhadap isu-isu masyarakat. Kebetulan pula dia adalah menteri yang bertanggungjawab dalam potfolio itu.

Mudah-mudahan kenyataan ini memberi gambaran kepada umum bahawa Umno bukan parti perkauman. Atau, dia ingin memberi gambaran bahawa Umno sudah semakin mesra dan selesa dengan semua bangsa dan bukan bangsa Melayu sahaja.

Bukankah kebelakangan ini Umno semakin risau dengan sokongan bukan Melayu kepada parti itu?

Namun, dari suatu sudut ingatan menteri ini boleh menunaskan persepsi negatif mengenai hubungan antara kaum di negara ini.

Ingatan menteri ini seolah-olah memberi gambaran bahawa isu perkauman di negara ini sangat serius. Apa sahaja yang melibatkan bangsa atau kaum yang berlainan berpotensi untuk menimbulkan krisis perkauman. Seolah-olah begitu.

Teruk benarkah hubungan antara Melayu – Cina atau Melayu – India di negara ini sehingga dalam kes jenayah sebegini pun, ada menteri yang perlu mengingatkan perkara sebegitu?

Nampaknya pemimpin Umno masih terkurung di bawah tempurung kebangsaan Melayunya. Pada masa yang sama, pemimpin Umno terpaksa menunjukkan ‘sikap langkau bangsanya’ untuk menarik kembali sokongan orang bukan Melayu kepada BN.

Pada pandangan saya, berdiam diri daripada menyebutkan perkara ini adalah lebih baik. Kalau menteri ini menyebutnya pun, media tidak sepatutnya menyiarkan.

Kita perlu mencontohi sikap doktor. Tidak semua perkara yang diketahui daripada pesakit yang dirawatnya diceritakan kembali kepada pesakit.

Tapi, apakan saya, beliau menteri bukan doktor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.