Oleh:Pria Malaya
Sebelum anda meneruskan pembacaan, ada baiknya anda mengenali siapakah insan yang bernama 'Syed Imran' ini..selain bekas wartawan stesen BERNAMA (1971-1998) dan bekas s/u Menteri di Jabatan PM, beliau juga merupakan...
"Mengenai sokongan kepada parti politik, saya lebih berkecuali kerana kini saya tidak menganggotai mana-mana parti politik mahupun memberi sokongan. Saya akui pernah menganggotai Umno dan pernah dipilih ketua pemuda cawangan, ketua penerangan cawangan, ajk pemuda bahagian dan ajk biro peringkat bahagian. Semuanya di bahagian Jelutong zaman Datuk Seri Yusof Latif."
Ikuti kisah dan pengalaman seorang bekas penyokong malah pemimpin kuat Umno, yang kini bersara dari arena politik, menyambut perayaan Aidilfitri di Pulau Pinang dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat diketui oleh Ketua Menterinya Lim Guan Eng...
Yang nyata, kisah ini sekaligus menolak dakyah sempit penyokong parti perkauman Umno serta medianya, seolah2 segala budaya, kampung, hak orang Melayu sudah hilang dan tergadai di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat...ikuti kisah menarik berikut...
Suasana Aidil Fitri di Pulau Pinang
Saya tidak pernah tidak pulang ke kampung di Jalan Burma, Georgetown, Pulau Pinang untuk berhari raya bersama-sama keluarga dan saya dapat merasai dan melihat suasana orang Tanjong berhari raya.
Masih ada rumah orang Melayu Tanjong yang dihiasi dengan bintang yang diperbuat daripada buluh dan kertas berwarna warni serta bermandikan cahaya lampu pada waktu malam. Hiasan bintang bercahaya itu adalah sesuatu yang unik di Pulau Pinang sebelum penggunaan lampu berkelip-kelip ala-krismas. Namun demikian, hiasan bintang berkenaan semakin kurang mungkin kerana kemahiran untuk membuatnya kian tandus.
Walau apapun, suasana sambutan hari raya tetap meriah terutama di kampung-kampung Melayu dalam dan sekitar bandar raya Georgetown seperti Kampung Makam, Tanjong Tokong, Kampung Rawana, Kampung Dodol, Kampung Melayu Ayer Itam, Jelutong dan perkampubngan-perkampungan tradisional di daerah Barat Daya atau lebih dikenali sebagai Balik Pulau.
Satu perbezaan yang jelas kelihatan ialah kebersihan. Amat nyata Pulau Pinang, khususnya kawasan bandar, kini jauh lebih bersih jika dibandingkan empat hingga 10 tahun lepas.
Di sekitar kampung saya di mukim Kelawai, satu kelainan berlaku sejak tahun lalu yang belum pernah dilakukan sejak Merdeka. Saya diberitahu bahawa perkara yang sama berlaku di kawasan-kawasan lain.
Apa yang saya maksudkan ialah kehadiran wakil rakyat ke rumah orang Melayu untuk mengucap selamat hari raya dan menyumbang 'hamper' kepada warga emas. Boleh dikatakan setiap sebuah rumah mendapat satu hamper. .
Walaupun hamper itu tidaklah sesuatu yang mewah tetapi ia adalah sesuatu yang dihargai oleh para penerima kerana sekurang-kurangnya mereka dapat melihat dari dekat dan mengenali wakil rakyat dan ada yang mengambil kesempatan itu untuk mengadu sesuatu kepada wakil rakyat berkenaan.
Di kampung kami khususnya kunjungan wakil rakyat dari rumah ke rumah tidak pernah dilakukan sejak Merdeka, iaitu semasa pentadbiran parti Perikatan dan kemudian Barisan Nasional. Ia adalah satu kenyataan atau fakta.
Tahun lepas, apabila wakil rakyat mengunjungi kampung saya, berlaku sedikit ketegangan ekoran daripada tindakan penuh emosi oleh penyokong sebuah parti politik yang kalah dalam pilihan raya lepas. Alhamdulillah, kali ini tiada bantahan ataupun tentangan kerana perbuatan mereka (orang politik berkenaan) pada tahun lepas tidak disenangi oleh penduduk kampung.
Kehadiran wakil rakyat dari DAP dan dua orang pemimpin PAS setempat diterima dengan baik kerana penduduk kampung tidak mengamalkan sikap bermusuh dengan orang yang sudi mengunjungi mereka dan orang kampung menerima dan menghormati tetamu lebih-lebih lagi sempena menyambut Aidil Fitri.
Pendekatan yang digunakan oleh wakil rakyat DAP, seingat saya, tidak pernah dilakukan oleh wakil-wakil rakyat pada zaman parti Perikatan dan kemudian BN. Inilah hakikat dan inilah kenyataan.
Saya percaya BN tidak dapat 'menawan' semula Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang kerana pemimpin-pemimpin mereka masih di awang-awangan dan terus mengada-adakan isu tertentu dengan bantuan media tertentu untuk memburuk-burukkan pentadbiran negeri. Rakyat Pulau Pinang tahu akan kedudukan sebenar.
Sumber: kudaranggi.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.