Followers

Friday, July 30, 2010

MASIH JUGA GILAKAN PERPADUAN DENGAN PAS, GUNA NGO PULA Oleh: WFAUZDIN NS

BEBERAPA NGO yang telah lama dikenal pasti pro kerajaan telah mengeluarkan pandangan mereka berkaitan isu perpaduan Umno - PAS. Meskipun PAS kini telah bosan dengan mainan pemimpin Umno dan media pencacai mereka tentang perpaduan Umno-PAS, namun kerana rendahnya martabat mereka yang mengampu Umno ini, mereka masih berselera besar untuk memperkatakan isu perpaduan Umno-PAS. Mungkin satu rayuan atau mohon simpati PAS agaknya. Baca di sini.

Di antara beberapa NGO yang tampil membantu Umno untuk merealisasikan tipu muslihat politik Umno yang tenat itu adalah dari Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan). Setiausaha Gagasan menyebut, PAS dan Umno sama sahaja dari segi anutan cuma berbeza dari segi ideologi. Maksudnya anutan Umno itu Islam, dan PAS juga Islam. Siapa yang nafikan? Memang benar majoriti ahli Umno itu Islam. Ideologinya apa? Sekular, bukan? Dan, PAS adalah Parti Islam dan ideologinya juga adalah Islam. Adakah ini bermakna Sekular dan Islam itu sama? Itukah yang difahami oleh Setiausaha Gagasan itu?


Mengapa susah sangat mahu bandingkan dasar PAS dengan dasar Umno? Butakah mata mereka melihat siapakah yang bersungguh-sungguh mahu melaksanakan dasar Islam dan siapakah yang bersungguh-sungguh menolak dasar tersebut? Umno bukan sahaja tidak mahu melaksanakan hukum Islam seperti Hudud dan Qisas, bahkan bercita-cita pun tidak pernah. Berbeza dengan PAS, yang telah pun membentangkan Perundangan Jenayah Hudud dan Qisas di Dun Negeri Terengganu sewaktu PAS memerintah Terengganu dan juga di Kelantan. Malangnya, siapakah yang menentang dan menghalang perlaksanaan hukum tersebut kununnya melanggar Perlembagaan? Yang pasti, bukan PKR atau DAP yang menghalangnya.

Siapa yang pernah memberhentikan bantuan kepada SAR? DAP atau PKR kah? Usahkan Hukum Hudud, Hukum Qazaf pun mahu dihalangnya. Di dalam kes Liwat II DS Anwar, siapa yang bersungguh-sungguh menghalang kes Qazaf dari dibicarakan di Mahkamah Syariah? Bukankah Menteri dari Umno yang bersungguh-sungguh menghalangnya? Bukan Karpal Singh atau Lim Kit Siang, walaupun dikatakan DAP kununnya menentang penubuhan Negara Islam. Apa yang membuatkan kita merasa pelik, mereka boleh menyamakan taraf penolakan DAP terhadap Perundangan Islam dengan mereka menolak Perundangan Islam. Mereka seolah-olah menyamakan akidah mereka dengan akidah DAP.

Takdir dan kuasa Allah tiada siapa yang boleh menjangkakannya. Di dalam keadaan DAP dikatakan menentang hasrat PAS untuk menubuhkan Negara Islam, tetapi bermula Pilihanraya Umum ke 12 dan beberapa Pilihanraya Kecil selepas itu, undi penyokong DAP dan sokongan pemimpin DAP terhadap PAS semakin padu. Semakin PAS kuat untuk menjayakan cita-cita Negara Islam, Umno semakin kuat menekan PAS. Lojiknya, memang wajar PAS berkawan dengan DAP dari berkawan dengan Umno.

Saya sdikit bersetuju dengan pandangan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia yang menyeru pertemuan Umno-Pas mestilah berpaksikan Islam dan Melayu. Apabila mahu berpaksikan Islam, tentulah Al-Quran dan Hadith dijadikan rujukannya. Al-Quran mengajar bersatu padu bukan sahaja di kalangan orang-orang Islam, bahkan perpaduan aamat penting dicapai bersama masyarakat yang bukan Islam. Maka, perpaduan itu mestilah dibincangkan bersama bukan hanya di antara Umno dan PAS sahaja. Sanggupkah Umno untuk mengadakan perbincangan secara terbuka melibatkan semua parti yang mewakili pelbagai kaum dan agama di negara ini? Jika Umno mahu bertemu dengan PAS sahaja, ini bermakna pertemuan itu tidak berpaksi kepada agama Islam. Ia hanya pertemuan untuk Melayu semata-mata.

Jika pertemuan sekadar mahu membincangkan soal orang-orang Melayu sahaja, maka wajarlah PAS melupakan Umno yang sudah ketinggalan di dalam arus politik sekarang. Sudah terlalu banyak dosa Umno terhadap Melayu apatah lagi terhadap Islam sepanjang lebih 50 tahun Umno menjadi tunggak pemerintahan negara. Rundingan dengan Umno wajib bersyarat kerana bukan baru kita mengenali Umno./wfauzdin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.