Followers

Wednesday, May 5, 2010

Krisis Istana Kelantan: Tengku Temenggong ‘dibawa’ ke IPK

Koleksi Foto Manohara Odelia Pinot dan Tengku Muhammad FakhryKOTA BARU —Tengku Temenggong Kelantan telah ‘dibawa’ ke Ibu Pejabat Polis Kelantan di sini lebih sejam selepas beliau memberi kenyataan media berhubung kegagalan untuk membawa Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra ke Singapura.

Sementara itu, Sultan Kelantan pula, yang pulang dari rawatan di Singapura awal Mac lalu, dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Pegawai-pegawai Istana Kelantan berada di pekarangan HUSM tetapi enggan mengulas.

Baginda dikatakan dibawa ke HUSM kira-kira 7.30 petang, lebih kurang 10 minit selepas Tengku Muhammad Fakhry dibawa ke IPK.

The Malaysian Insider difahamkan Tengku Muhammad Fakhry berada di IPK untuk diambil keterangan berhubung sidang media semalam.

Tengku Muhammad Fakhry dibawa ke IPK di pekarangan Istana Mahkota.

Kira-kira 6 petang smlm, Tengku Muhammad Fakhry berkata pesawat khas yang dibawa khas untuk membawa Sultan Kelantan dilarang daripada mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Menurut Tengku Muhammad Fakhry, arahan tersebut telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa lapangan terbang.

Tuanku Ismail Petra dijadual akan berangkat ke Singapura pukul 11.30 pagi untuk mendapat rawatan susulan kesihatannya di Hospital Mount Elizabeth.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, Tengku Muhammad Fakhry ditahan oleh anggota polis dari Unit Tindakan khas kira-kira 100 meter dari Istana Mahkota semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk berangkat ke Singapura.

Sehingga 11.30 malam tadi beliau masih berada di IPK.

Difahamkan, setelah gagal untuk membawa Sultan Kelantan dengan pesawat khas pagi smlm, maka usaha diteruskan dengan pesawat Penerbangan Malaysia pada 7.50 malam tadi.

“Masa itu Tuanku dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk ke Singapura.

“Sebaik sahaja Tengku Temenggong dibawa ke Ibu Pejabat Polis, Tuanku Sultan langsung dibawa ke hospital,” kata satu sumber.

Ditanya sama ada motif penahanan itu ada kaitan dengan kes tembak ke atas seorang pengawal keselamatan istana baru-baru ini atau sidang medianya petang tadi, sumber itu enggan mengulas.

Sementara itu kekanda kepada Sultan Kelantan, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra semasa bercakap kepada pemberita melahirkan rasa dukacita atas konflik yang berlaku.

“Sedih, tak sangka sanggup buat gini kepada Tuanku Sultan.

“Kalau tak silap, tadi empat lima orang juga yang bertindak menahan Tengku Temenggong.

“Ada yang memakai topeng dan bersenjata,” katanya.

Tengku Muhammad Fakhry dibawa ke IPK bersama dua orang doktor peribadi Sultan Kelantan.

Dalam perkembangan yang sama difahamkan lima pengawal peribadi Tengku Muhammad Fakhry termasuk pengawal Sultan Kelantan turut ditahan secara berasingan.

“Tengku Temenggong dulu diambil baru pengawal-pengawal itu,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, sumber memberitahu The Malaysian Insider dua orang doktor dan kira-kira lima pengawal peribadi istana juga ditahan. Bagaimanapun tidak pasti sebab mereka ditahan.

Hujung minggu lalu seorang pengawal keselamatan istana ditembak ketika perjalanan ke rumahnya selepas selesai bertugas. Dia masih dirawat di hospital.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra malam tadi dimasukkan ke HUSM untuk menjalani rawatan susulan masalah jantung.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad mengesahkan perkara itu dengan berkata kepada Bernama: “Ya Sultan (Kelantan) kini di HUSM.”

Difahamkan baginda dimasukkan ke hospital itu atas pilihan pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra untuk menjalani rawatan susulan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.