Iklim ketakutan atau climate of fear makin menyelubungi negara. Umno-BN, yang sudah lama memerintah, memperkuatkan lagi cengkamannya agar nafas Demokrasi, Kebebasan dan Karamah Insan di negara ini mulai sesak. Minggu kebelakangan ini keresahan memuncak apabila adanya percubaan untuk merekayasa ketegangan antara kaum dan agama. Siri serangan ke atas rumah ibadat mengejutkan rakyat Malaysia kerana ada di antara kita demi kelansungan politik segelintir, sanggup menggadai keamanan dan keharmonian negara ini.
Kita dikejutkan lagi dengan berita bahawa adanya tangkapan secara beramai-ramai minggu lalu menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA), kononnya untuk memerangi pengganas. Sekiranya tidak didedahkan oleh Gerakan Mansuh ISA, pastinya kerajaan akan mendiamkan perkara ini agar tidak diketahui umum. Persoalannya jika ada bukti kukuh, mengapa menggunakan ISA? Saya menggesa agar kerajaan segera membawa mereka ke muka pengadilan dan diadili secara bebas tanpa menurut telunjuk sesiapapun.
Manakala tohmahan diperhebat terhadap Pakatan Rakyat, dibantu pula oleh ”lidah rasminya,” yang mengabaikan segala prinsip serta integriti kewartawanan, keadaan ternyata semakin memburuk. Dipaparkan kononnya pimpinan umno-bn sedang berusaha memulihkan negara dari kemurungan ekonomi dan sedang cuba membawa perubahan, walhal pada masa yang sama, mereka yang bangkit menyatakan perbezaan, dibantai serta cuba dialahkan menggunakan taktik keji.
Lihat sahaja apabila kerajaan sanggup membiarkan anak-anak mahasiswa kita diberkas dan diugut. Apa erti slogan perubahan jika suara mahasiswa dibungkam dan mereka ditakut-takutkan. Lebih menyedihkan kemurnian kawasan universiti dicemar apabila pihak keselamatan menceroboh lalu angkuh mempamirkan kekuatan. Tidak sedarkah kamu wahai pemerintah! Yang cuba ditakut-takutkan ini adalah penzahiran dari damir perjuangan bangsa! Mahasiswa dan anak muda adalah generasi pemberani yang tidak gentar walau hanya berbekal genggaman tapak tangan apabila berhadapan kekuatan pemerintah.
Jelas kelihatan kepada kita, iklim ketakutan dimunculkan demi mengalih pendangan rakyat dari isu sebenar. Apatah lagi kerana kemurungan ekonomi yang belum berlalu, kebobrokan rasuah yang semakin memualkan, kehakiman yang tidak bebas serta peningkatan ketidakyakinan rakyat terhadap kepimpinan Umno.
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.