Followers

Monday, November 30, 2015

Tun Mahathir Keliru Bagaimana 1MDB Kurangkan Hutang Dengan Jual Edra



Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyentuh tentang penjualan Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN).

Beliau berkata, dilaporkan bahawa 1MDB akan mengurangkan antara RM16 bilion hingga RM18 bilion daripada hutangnya selepas menjual Edra.

Menulis dalam blognya hari ini, Dr Mahathir berkata beliau cuba untuk mengira bagaimana itu dicapai.

Beliau mengingatkan bahawa 1MDB telah membeli loji penjana kuasa itu pada harga RM18 bilion bersama dengan hutang sebanyak RM6 bilion.

Manakala CGN telah membayar RM9.83 bilion bagi 100 peratus aset tenaga itu.

"Setelah menjual Edra untuk RM9.83 bilion, bagaimana ini mengurangkan hutang 1MDB sebanyak antara RM16 hingga RM18 bilion?

"Sekali lagi, memandangkan kejatuhan nilai ringgit, bagaimana hutang dalam dolar AS dikurangkan?" tanya Dr Mahathir.

Bukan itu sahaja, beliau menegaskan bahawa apabila 1MDB membeli loji penjana kuasa itu, ringgit diniagakan pada RM3.2 berbanding dolar AS tetapi kadar sekarang berada pada RM4.2 berbanding dolar AS.

Oleh itu, dari segi dolar AS, RM9.83 bilion yang dibayar oleh syarikat China itu bernilai kurang daripada RM9.83 bilion yang dibayar oleh 1MDB, katanya.

Katanya, jika wang yang dipinjam oleh 1MDB adalah dalam ringgit, kerugian itu akan menjadi minimum.

Tetapi, tegas Dr Mahathir, jika 1MDB telah meminjam dalam AS dolar, ia akan kerugian RM1 bagi setiap dolar yang dipinjam.

Dalam erti kata lain, katanya, apa yang 1MDB dapat daripada jualan itu, tidak akan dapat membayar sepenuhnya hutang yang diperolehi 1MDB dalam dolar AS.

Mahathir juga bertanya sama ada hutang RM6 bilion yang diambil alih oleh 1MDB itu, dianggap sebagai sebahagian daripada aset yang dijual kepada CGN.

Satu lagi soalan penting, katanya, ialah sama ada Petronas akan menjual gas kepada loji penjana kuasa itu dan jika ya, apakah harganya.

Dr Mahathir juga tertanya-tanya sama ada langkah CGN membeli loji penjana kuasa itu adalah satu bentuk pelaburan langsung asing (FDI), walaupun beliau meragui logiknya.

Menurutnya, wang yang dibawa masuk, akan keluar untuk membayar hutang asing, dan jumlah yang keluar itu akan jauh lebih besar daripada aliran masuk.

"(Ia) tidak bunyi seperti FDI kepada saya," katanya.

Jika kerajaan bercadang untuk membenarkan penghantaran balik penuh daripada keuntungan daripada loji penjana kuasa di Malaysia, Dr Mahathir mengingatkan bahawa China mempunyai dasar penghantaran balik dalam bentuk eksport produk China, dan bukan wang tunai.

"Berapa banyak kawalan kerajaan ke atas utiliti milik asing? Penetapan harga yang boleh menyebabkan kerugian kepada syarikat itu, mungkin mengakibatkan subsidi oleh kerajaan," katanya.

Ketika mengumumkan jualan RM9.83 bilion, Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy menyifatkan pembelian oleh Kumpulan CGN sebagai satu keyakinan yang jelas terhadap ekonomi Malaysia.

Sambil menyifatkan perjanjian itu sebagai satu kejayaan besar dalam pelan rasionalisasi 1MDB yang dibebani hutang, Arul juga berkata, kumpulan CGN adalah pemenang yang jelas dalam bida antarabangsa itu, berdasarkan objektif yang diumumkan oleh 1MDB sebelum ini, iaitu memaksimumkan nilai, terma perdagangan yang boleh diterima, dan kepastian pelaksanaan transaksi.

Perjanjian antara Edra Global Energy Bhd dan Kumpulan CGN itu, yang disasarkan siap pada 2016, merupakan transaksi terbesar yang diumumkan di Malaysia dan salah satu yang terbesar dalam sektor tenaga Asia setakat ini.

Aset yang dijual adalah Edra Solar Sdn Bhd, Edra Energy Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Jimah Teknik Sdn Bhd, Jimah O&M Sdn Bhd, Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tiara Tanah Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.