Followers

Thursday, November 12, 2015

Tukar pemimpin gagal supaya rakyat kembali sokong UMNO - FMT


anina1Ahli UMNO diseru supaya sedar bahawa menyelamatkan parti lebih penting berbanding Presiden kerana UMNO adalah parti yang menjadi pemacu kemajuan negara dan pejuang perpaduan kaum. 



oleh Anina Saadudin

Tidak pernah dalam sejarah UMNO, Presidennya dihantui dengan isu korupsi seburuk ini.

Ini kerana UMNO (pencetus Perikatan) adalah sebuah parti yang ditunjangi perjuangan suci menuntut kemerdekaan dan perpaduan kaum.

Parti yang paling berjaya mengekalkan keharmonian kaum disamping memacu pembangunan progresif dalam tempoh hanya 58 tahun merdeka.

Tiada yang sehebat UMNO dipersada politik dunia dalam mengekalkan kuasanya berlandaskan prestasi kepimpinan.

Namun, setinggi manapun gunung, jika ia diitakluki oleh pemimpin yang salah dan menunjal tanah untuk kepentingan sendiri maka gunung tersebut pastinya akan segera runtuh sedikit demi sedikit.

Ia bukan salah parti yang telah berjasa besar kepada bangsa dan negara. Ia adalah salah pemimpin-pemimpin yang bernafsu besar terhadap kuasa dan tamakkan wang ringgit.

Adalah satu kerugian besar jika parti dan sistem ini musnah dek kemabukan dan kegilaan kuasa dan wang. Oleh itu, UMNO perlu diselamatkan supaya mampu untuk terus memacu pembangunan demi masa depan anak Malaysia.

Yakinlah, anak Malaysia akan kembali mempercayai UMNO sekiranya pemimpin yang gagal ini ditukar.
Jika kita meruntuhkan parti yang baik, ia umpama membakar kelambu dek kerana seekor nyamuk yang sebenarnya hanya membunuh mimpi dan impian anak Malaysia.

Mengapa sukarnya ahli UMNO menerima hakikat bahawa mempertahankan parti itu lebih penting daripada hanya mempertahankan seorang pemimpin yang telah terbukti tiada jiwa bangsa dan mempertahankan legasi ketinggian darjat seorang Presiden.

UMNO tidak hanya perlu mempertahankan darjat seorang Presiden, UMNO perlu mempertahankan darjat agama, bangsa dan negara di persada dunia.

Anina Saadudin merupakan bekas ahli Wanita UMNO Kampung Padang Mat Sirat Langkawi.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.