Minggu lepas Perdana Menteri akhirnya mengaku bahawa 1MDB adalah satu perniagaan yang gagal.
Walaupun Perdana Menteri kita adalah
seorang billionaire (kerana lebih RM2.6 billion terbukti dijumpai di
dalam akaun peribadi beliau), dan beliau merupakan ketua penasihat 1MDB,
syarikat tersebut ternyata gagal untuk mencapai misi yang patut
dicapainya.
Setelah berbulan-bulan sebelum ini Perdana Menteri memaklumkan kita semua bahawa aset 1MDB melebihi liabiliti, dan cuba menipu mengatakan 1MDB tidak pernah kerugian lagi, ternyata semua kata-kata tersebut adalah kosong semata-mata. Ianya tidak lebih hanyalah untuk meyedapkan hati sendiri sahaja.
Ini kerana, rakyat sudah bijak mengkaji
dan berfikir bahawa tiada apa yang boleh dilakukan oleh Perdana Menteri
dan konco-konconya untuk ‘mewangikan’ bangkai yang busuk seperti 1MDB.
Kini setelah ternyata tiada apa bukti
yang boleh ditunjukkan untuk menidakkan kebenaran, mereka beralih kepada
hujah bahawa pelan rasionalisasi 1MDB sedang menunjukkan kejayaan.
Amat berbeza sekali tujuan 1MDB
ditubuhkan dan tujuan pelan rasionalisasi tersebut. Pada asalnya 1MDB
kononnya akan meningkatkan ekonomi Malaysia dengan terbinanya Bandar
Malaysia, dan turunnya kadar letrik negara kerana pembelian IPP serta
penyenaraiannya di dalam bursa. Pendek kata, 1MDB akan memakmurkan
Malaysia dengan pembangunan ekonomi yang mampan tanpa menggunakan hutang
kerajaan yang besar.
Tapi yang berlaku adalah sebaliknya. Oleh
kerana penyelewengan telah berlaku dan wang berbilion telah hilang,
maka tujuan 1MDB ditubuhkan telah bertukar kepada proses pembayaran
balik hutang yang lebih banyak bertimbun. Maka bermulalah proses menjual
semula aset aset yang telah dibeli melalui hutang, supaya wang yang
akan diperolehi digunakan untuk membayar balik hutang-hutang tersebut.
Tersenyum lah para pemberi hutang dan bank-bank yang berkaitan.
Rakyat Malaysia akan kehilangan aset-aset
tersebut kepada pihak swasta dan pihak luar; hanya kerana Perdana
Menteri dan konco-konconya di dalam 1MDB tidak tahu bagaimana hendak
berniaga. Mereka cuma tahu menghilangkan wang sahaja. Hinggakan tidak
cukup untuk membayar pinjaman mahupun bunga pinjaman. Tanah yang
sepatutnya tanah kerajaan yang dikhaskan untuk pembangunan bumiputera
juga mungkin akan terjual kepada pihak asing.
Bahkan wang rakyat berjumlah RM950 juta
telah diberi oleh kerajaan untuk menolong 1MDB melangsaikan bunga
pinjaman. Alangkah baiknya wang tersebut dapat diguna untuk membayar
konsesi tol supaya rakyat tidak payah menampung kenaikan harga tol yang
tinggi. Ini tidak, wang tersebut hangus cuma untuk membayar kepada
peminjam sahaja.
Disebabkan Perdana Menteri pada mulanya
cuba menipu rakyat dengan mengatakan semua berkenaan 1MDB adalah
baik-baik sahaja akan tetapi bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan
nyiru selamanya. Oleh itu sememangnya kita boleh isytihar bahawa kepimpinan Perdana Menteri ini adalah yang terburuk di dalam sejarah Malaysia.
Semasa isu RM2.6 billion mula dibocorkan
kepada umum oleh suratkhabar Wall Street Journal, Perdana Menteri telah
memfitnah Tun Dr. Mahathir dengan mengatakan bahawa bekas perdana
menteri itu telah bersekongkol dengan pihak asing untuk menjatuhkan beliau melalui tuduhan yang tidak betul.
Fitnah tersebut terbukti tidak
benar apabila bukti bukti yang dikemukakan telah menunjukkan bahawa
memang betul Perdana Menteri telah menjadi seorang billionaire di dalam
tahun 2013. Dari mana atau untuk apa wang tersebut tiba tiba muncul,
tidak pula diberitahu. Bahkan ramai di dalam Umno yang terperanjat dan
siasatan pun dimulakan. Malangnya, beliau telah memecat orang-orang yang
sedang menyiasat bukti-bukti tersebut.
Perdana Menteri juga berkata bahawa punca
Tun Dr Mahathir marah kepada beliau kerana kononnya Perdana Menteri
tidak mahu menjadi proksi.
Akan tetapi, oleh kerana umum sudah
mengetahui bahawa Perdana Menteri tidak tahu mentadbir negara dengan
betul dan ternyata lebih cuba melindungi kroni-kroni beliau seperti Jho
Low dan juga lebih mementingkan orang yang tidak cerdik tapi cuma tahu menjadi setia membabi buta sahaja, maka adalah lebih baik jika Perdana Menteri ini mempunyai proksi.
Mengapa? Supaya dia dapat dipimpin tangan
dan diperbetulkan dari melakukan perkara-perkara yang tidak baik
(seperti melambatkan penyiasatan ke atas dirinya, meletakkan orang-orang
yang mengampu dan melindungi beliau), dan akhirnya cukup pandai untuk
meletakkan Malaysia di landasan yang betul.
Daripada mengikut telunjuk Amerika dalam
hal TPPA atau menjadi pak turut kepada Jho Low dalam hal 1MDB lebih baik
jika beliau menjadi proksi kepada penasihat-penasihat yang lebih bagus
dan tidak berkepentingan. Sebenarnya Perdana Menteri patutnya menjadi
proksi kepada seluruh rakyat Malaysia. Dengarlah dan lihatlah reaksi
rakyat Malaysia terhadap kepimpinannya. Buat apa mendengar reaksi dari
tukang ampu dan tukang kipas di kalangan menteri kabinet?
Mereka cuma tahu menjaga periuk nasi diri
sendiri sahaja; bukannya untuk rakyat. Pangkat ‘wakil rakyat’ itu hanya
pada nama sahaja. Mereka cuma wakil kepada perut masing-masing.
Langkah seterusnya untuk Perdana Menteri
lakukan adalah dengan segera mengakui bahawa ekonomi Malaysia sedang
goyah dan kadar matawang ringgit tidak sebagus dulu. Usahlah beliau dan
menteri-menteri kabinet membuat ucapan yang kedengaran amat tolol dan
terpekik pekik mengatakan ekonomi Malaysia adalah utuh dan kuat.
Kita tidak mahu dipimpin oleh para pemimpin yang buta tuli terhadap realiti dan hanya tahu menyelamatkan diri sahaja.
Amat malang bagi rakyat Malaysia kerana
mempunyai Perdana Menteri yang suka membuat ucapan yang tidak benar dan
tidak berani berdepan dengan masyarakat umum. Dua kali beliau lari dari
majlis yang beliau patut hadiri.
Beliau seringkali mengatakan tidak pernah
menggunakan wang RM2.6 billion untuk tujuan peribadi tetapi di mana
buktinya? Mana butiran perbelanjaannya? Mana resit-resit bayaran apabila
ianya dikatakan digunakan untuk memerangi ISIS dan Yahudi? Setakat
cakap menghabiskan air liur sahaja mana mungkin orang yang ada otak akan
percaya.
Perdana Menteri sepatutnya duduk di atas landasan moral yang tinggi (moral high ground),
di mana sebelum rakyat tertunggu-tunggu berbulan lamanya, beliau
terlebih dahulu sudah menerangkan dan memberi bukti secukupnya. Beliau
tidak patut berdolak dalih atau menyalahkan orang lain. Inilah yang
wajib ada pada orang yang bermoral tinggi. Bukannya diam menikus apabila
Majlis Raja Raja menasihati beliau. Atau lari bertempiaran dari
majlis-majlis yang beliau patut hadiri.
Perdana Menteri yang bermoral tinggi
patutnya sudah lama meletakkan jawatan kerana apabila jawatan sudah
tidak dapat dipertahankan lagi, maka lebih baik berundur daripada
jawatan tersebut terus dicemuh, dihina dan dikecam masyarakat. Kerusi
perdana menteri sepatutnya tidak boleh kehilangan rasa hormat.
Perdana Menteri bukannya tahap seorang
kriminal yang menyorok dari tindakan undang undang walaupun seringkali
mendabik dada mengatakan beliau pahlawan bugis yang pantang berundur
bila sauh dilabuhkan untuk berlayar. Jika tidak mahu berkelakuan seperti
Perdana Menteri yang gagal untuk bermoral tinggi, adalah lebih baik
melepaskan jawatan dan terus berdepan dengan ujian undang-undang.
Itulah sebaik-baik pilihan agar Umno dan Barisan Nasional dihormati semula oleh masyarakat tempatan dan luar negara.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.