Followers

Thursday, November 12, 2015

Langat 2: Rakyat Selangor tanggung rugi RM 800 juta – Noh Omar FMT Reporters


noh omarSelangor boleh jimatkan RM800 juta jika kerajaan negeri Selangor tidak politikkan isu air

SHAH ALAM: Rakyat Selangor terpaksa menanggung kerugian RM800 juta akibat keangkuhan kerajaan negeri yang sebelum ini melengahkan pelaksanaan Projek Langat 2 yang sepatutnya siap pada 2017.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar menjelaskan, rakyat menanggung rugi apabila kerajaan negeri terpaksa membina dua loji rawatan air baharu di Labohan Dagang Kuala Langat dan Semenyih 2.

Menurutnya, peruntukan besar itu kononnya sebagai persiapan untuk menghadapi kemungkinan kelewatan Projek Langat 2 yang difahamkan akan tertangguh sehingga 2019 nanti.

“Soalnya, kenapa kena belanja lebih dan Projek Langat 2 sehingga kini masih tertangguh sampai empat tahun lagi? Inilah contoh dasar kerajaan negeri yang lebih suka berpolitik dari menyelesaikan masalah rakyat.

“Sedangkan jika projek itu diteruskan meskipun ketika itu Pakatan Rakyat memerintah Selangor, pastinya projek sudah boleh siap seperti yang dirancang.

“Hari ini kerajaan negeri di laporkan mahu bina loji rawatan air baharu dan untuk membinanya difahamkan menelan belanja RM800 juta,” katanya yang dipetik Sinar Harian.

Noh yang juga Pengerusi BN Selangor berkata, hanya kerana menunjukkan kuasa selepas berjaya menawan Selangor pada 2008 lalu, semua projek BN termasuk Langat 2 terpaksa dihentikan.

Isnin lalu Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, kerajaan Selangor akan membina dua loji rawatan air baharu iaitu Loji Rawatan Air Semenyih 2, Hulu Langat dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang di Kuala Langat yang menelan belanja sebanyak RM800 juta sementara menanti siapnya projek Langat 2.

Pembinaan itu menurut Azmin adalah bagi mengurangkan krisis kekurangan bekalan air terawat untuk keperluan rakyat dan industri negeri yang mana proses tender bagi kedua-dua projek itu masing-masing akan bermula pada Disember tahun ini dan Mac tahun depan.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.