Followers

Monday, December 14, 2015

Model baharu biasiswa JPA cegah penerima elak khidmat dengan kerajaan – Najib


najib-JPA

Sesetengah penerima sengaja mengagalkan diri dalam sesi temu duga bagi mengelak diambil kerja sebagai penjawat awam. 

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan menggubal model baharu dalam pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menghalang penerima mengelak daripada berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam.

Perdana Menteri berkata model biasiswa yang ditawarkan pada masa ini tidak menguntungkan kerajaan kerana masih ada ruang untuk penerima biasiswa tidak meneruskan khidmat mereka dengan kerajaan.

Walaupun kerajaan membelanjakan peruntukan besar untuk biasiswa itu namun ia tidak mendapat pulangan sewajarnya apabila sesetengah penerima sengaja mengagalkan diri dalam sesi temu duga bagi mengelak diambil kerja sebagai penjawat awam.

“Ini tidak menguntungkan kerajaan kerana membiayai beratus-ratus ribu untuk biasiswa,” katanya pada majlis jamuan malam Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada Ahad.

Sejumlah 1,400 pegawai PTD pelbagai gred menghadiri majlis tahunan tersebut dengan tema ‘PPTD Memperkasakan Sinergi, Memperkukuhkan Kolaborasi’.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden PPTD, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Dalam ucapannya Najib turut berkata proses perbincangan dan percambahan fikiran melibatkan pelbagai golongan masyarakat bagi menentukan hala tuju pasca 2020 harus dimulakan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.

Perdana Menteri berkata negara tidak boleh menunggu sehingga tahun 2020 untuk mengolah visi pasca 2020.

“Proses perbincangan ini perlu melibatkan pelbagai golongan dan pihak termasuk cendekiawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata para pegawai PTD yang merupakan pemikir, perancang dan pelaksana dalam perkhidmatan awam perlu memikirkan untuk mengolah semula strategi pembangunan negara dalam persekitaran global yang begitu mencabar.

“Antara cabaran dihadapi termasuk ekonomi yang berkembang perlahan, harga komoditi yang rendah, ekspektasi rakyat dalam menghadapi kos sara hidup dan ancaman kumpulan ektremis IS dan isu di Filipina Selatan,”katanya.

“Selama ini, kita selesa (isu keselamatan) tetapi kini tahap sensitiviti kita mesti ditingkatkan. Jangan ambil mudah soal keselamatan. Negara perlu lakukan apa yang termampu supaya rakyat terselamat daripada sebarang ancaman,” katanya.


– BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.