Followers

Monday, November 2, 2015

Sultan boleh lantik bukan Melayu jadi MB, kata Aziz Bari OLEH DIYANA IBRAHIM


Bukan Melayu boleh dilantik sebagai menteri besar asalkan memenuhi syarat ditetapkan, kata pakar undang-undang Dr Abdul Aziz Bari.

Bukan Melayu boleh dilantik sebagai menteri besar asalkan memenuhi syarat ditetapkan, kata pakar undang-undang Dr Abdul Aziz Bari.

Bukan Melayu boleh dilantik sebagai menteri besar kerana ia dibenarkan Perlembagaan yang jelas menyatakan mereka turut mempunyai hak asalkan memenuhi syarat ditetapkan, kata Dr Abdul Aziz Bari.

Pakar undang-undang itu berkata, mengikut Perlembagaan, dalam keadaan tertentu kelonggaran diberikan kepada Sultan untuk memilih calon menteri besar daripada kalangan bukan Melayu.

"Ya betul (lantik bukan menteri besar bukan Melayu) cuma kena tengok dalam konteks tertentu. Sebagai peruntukan umum memang orang Melayu saja boleh jadi menteri besar,” kata Aziz kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Petaling Jaya semalam.

"Tetapi yang nombor dua dalam Perlembagaan dinyatakan, untuk pastikan syarat dan kedudukan menteri besar dipenuhi, Sultan boleh mengetepikan peruntukan tersebut. Maknanya Sultan boleh lantik orang bukan Melayu,” katanya.

Aziz yang baru sahaja dipilih menjadi ahli jawatankuasa DAP Selangor menjelaskan, pelantikan bukan Melayu sebagai menteri besar boleh terjadi sekiranya tiada majoriti Melayu yang menyokong calon menteri besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Ataupun orang Melayu tidak ada dalam DUN selain mungkin orang Melayu itu tidak sesuai menjadi menteri besar.

“Ada pelbagai situasi dan maksudnya, kelonggaran diberikan kepada Sultan untuk melantik orang bukan Melayu,” katanya.

Belum masanya bukan Melayu jadi MB

Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bagaimanapun berkata, pada waktu ini, kemungkinan untuk bukan Melayu dilantik sebagai menteri besar terlalu kecil.

"Hendak mengatakan orang Melayu tidak ada dalam DUN, itu saya rasa agak tidak masuk akal.

“Namun yang saya jelaskan ini, maksudnya kalau orang Melayu itu sendiri terbuka dan mereka hendak lihat calon yang baik dan sesuai dan boleh menerima, maka ia tidak mustahil," katanya.

Apabila ditanya apakah kenyataannya bermakna beliau menyokong pelantikan menteri besar di kalangan bukan Melayu, Aziz berkata ia tidak berbangkit dan bukan menjadi isu.

Sebaliknya Aziz berkata, beliau hanya ingin menjelaskan tindakan demikian boleh dilaksanakan dan bukan berdasarkan pendapat peribadinya.

"Ini bukan soal saya menyokong atau tidak, tapi apa yang saya nak jelaskan apa ada di situ dan keduanya nak beritahu nak kata orang bukan Melayu tidak boleh jadi menteri besar tidak ada sebenarnya, ia boleh walaupun bukan yang pertama," katanya.

Katanya, syarat paling penting ialah calon menteri besar mendapat kepercayaan majoriti dan mesti menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Maknanya Perlembagaan beri ruang untuk Sultan sedikit sebanyak dan kebebasan bagi memastikan pentadbiran mantap serta bertanggungjawab.

“Sultan tidak boleh lantik sesiapa saja macam sebelum merdeka iaitu dengan lantikan peribadi,” katanya yang sebelum ini pernah menjadi calon PKR di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Semasa Konvesyen Tahunan DAP Selangor semalam, Aziz yang hadir sebagai pemerhati menyatakan kekecewaannya apabila wujudnya kempen dalam PKR menolak calon menteri besar bukan Islam.

DAP popular di kalangan anak muda Melayu

Aziz berkata, DAP kini begitu popular di kalangan anak muda Melayu akan tetapi tidak bagi mereka yang berada di usia pertengahan.

"Saya tidak ada bukti menyatakan itu, namun saya fikir di kalangan orang muda itu yang ada perubahan. Mungkin kerana mereka ini skeptikal dan kecewa atau ada perasaan nak mencuba, itu yang menarik penyertaan.

"Generasi lama dan berumur mungkin kurang sebab ada prejudis dan saya sendiri dihujani soalan begitu kenapa Islam masuk DAP, labelkan DAP sebagai anti Islam," katanya yang baru menyertai DAP beberapa bulan lalu.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan perwakilan yang mengatakan DAP tidak harus dilihat sebagai parti Cina tetapi mengakui agak sukar membuang persepsi itu.

"Macam perwakilan bangkitkan jangan DAP dilihat sebagai parti Cina, kerana sejarah dan realiti begitu.

“Macam Amanah, PKR, Umno dan juga PAS, mereka kata bukan hanya untuk orang Melayu-Islam, namun tidak dapat lari dengan hakikat itu, begitu juga dengan DAP," katanya.

Umno gagal manfaatkan krisis pembangkang

Mengulas mengenai krisis yang berlaku di antara parti pembangkang, Aziz berkata, dari sudut penyokong meskipun mempunyai kekecewaan namun tidak sampai ke tahap untuk mereka balik kepada Umno.

"Umno tidak ada kekuatan itu kerana mereka pun ada masalah seperti pentadbiran Najib dan masalah perpecahan dalaman parti.

"Pakatan Harapan ada kelemahan tapi tetap Umno tidak mampu untuk mengambil kesempatan," katanya.

Krisis di Selangor bermula antara gabungan pembangkang apabila PKR melancarkan “Langkah Kajang” untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong Khalid dan menolak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi menteri besar Selangor walaupun mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) di antara DAP, PKR dan PAS sudah bersetuju.

Akhirnya PR yang ditubuhkan selepas PRU13 berkubur akibat daripada pergeseran berterusan di antara PAS dan DAP dalam pelbagai isu termasuk hudud di Kelantan.

Perpecahan dalaman PAS menyebabkan tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah).

PKR, Amanah dan DAP kemudiannya menubuhkan Pakatan Harapan. Bagaimanapun di Selangor, DAP, PKR dan PAS masih berada dalam kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali. – 2 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.