Followers

Wednesday, November 4, 2015

Mahkamah Tinggi diperintah tentukan pertuduhan Khairuddin, Chang di bawah Sosma


Pelakon Ummie Aida, isteri kepada bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kelihatan keluar dari Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, hari ini untuk mendengar permohonan suaminya dibenarkan diikat jamin.

Pelakon Ummie Aida, isteri kepada bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kelihatan keluar dari Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, hari ini untuk mendengar permohonan suaminya dibenarkan diikat jamin.

Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan Mahkamah Tinggi memutuskan sama ada pertuduhan terhadap bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang di bawah Akta Kessalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Semasa menolak permohonan kedua-dua tertuduh untuk dibenarkan diikat jamin, panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria juga memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan mereka bagi diikat jamin.

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan tidak boleh memberikan ikat jamin sementara kepada Khairuddin dan Chang kerana ia sama seperti pra penghakiman terhadap perkara itu.

Ariffin kemudian menetapkan Khamis ini (5 November) untuk Mahkamah Tinggi mendengar perkara itu, menyatakan perkara itu patut didengar segera kerana ia melibatkan kebebasan seseorang.

Beliau juga memerintahkan Mahkamah Rayuan mendengar perkara itu dengan kadar segera, sekiranya perkara itu dibicarakan di mahkamah.



Panel itu yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan 3 Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah dan Datuk Ramly Ali, membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan bagi Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung persoalan perlembagaan dan untuk mengembalikan semula perkara itu ke Mahkamah Tinggi untuk memutuskan tentang tiga persoalan berkaitan pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh.

Arifin yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel itu, berkata mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan langkah Mahkamah Tinggi merujukkan persoalan perlembagaan itu adalah tidak kompeten kerana tidak memenuhi ketetapan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Timbalan Pendakwa Raya Awang Amardajaya Awang Mahmud dalam hujahnya berkata persoalan dirujukkan oleh Mahkamah Tinggi untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan tidak memenuhi ketetapan Seksyen 84 kerana ia bukan persoalan perlembagaan berhubung pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh.

Tiga persoalan dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan adalah sama ada pertuduhan terhadap kedua-duanya dibuat di bawah Seksyen 124L Kanun Kesekseaan, adalah di luar bidang kuasa pelembagaan Sosma.

Khairuddin, 53, dan Chang, 65, menghadapi pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Lima lokasi itu adalah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura.

Kedua-dua tertuduh memfailkan usul di Mahkamah Tinggi bagi memohon perintah, antara lain, pertuduhan terhadap mereka tidak boleh dibuat di bawah Sosma dan mahu mahkamah membebaskan mereka dengan ikat jamin.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin pada 19 Oktober tahun ini merujukkan kes mereka ke Mahkamah Persekutuan untuk menentukan persoalan Perlembagaan dan Mahkamah Persekutuan menetapkan hari ini untuk mendengar perkara itu.

Dalam prosiding hari ini, peguam mewakili Khairuddin, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata persoalan itu melibatkan isu perlembagaan.

Peguam mewakili Chang, Zainur Zakaria berkata adalah wajar untuk Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tentang persoalan itu bagi mengelakkan melalui proses rayuan kerana Khairuddin dan Chang sedang ditahan.
 
 
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.