Followers

Sunday, October 18, 2015

Fastaqim ujian PAS tanpa Pakatan Rakyat 1.2K Zulaikha Zulkifli


Selepas BERSIH 4 pada Ogos, diikuti 'perhimpunan Baju Merah’ pada September lalu, kini tiba giliran PAS mengadakan perhimpunan besar-besaran mereka.

Diberi nama Himpunan Fastaqim 60 ribu (H60K), ia diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan.

PAS tidak menyertai BERSIH 4 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap kerajaan, terutama mengenai isu skandal kewangan 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Itu merupakan kali pertama PAS tidak menyertai perhimpunan BERSIH secara rasmi.

Parti itu memberitahu mereka tidak menyertai BERSIH 4 kerana ingin memberi fokus kepada H60K ini.

Himpunan yang menyasarkan kehadiran 60,000 penyokong PAS itu juga program besar-besaran pertama dianjurkan PAS selepas parti itu berdepan kemelut yang membawa kepada tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH).

AMANAH ditubuhkan oleh kumpulan progresif dalam PAS yang 'terkorban' dalam pemilihan perwakilan PAS pada Jun lalu.

Walaupun masih baru, AMANAH mendakwa mereka sudah menerima permohonan keahlian seramai 50,000 dan paling ramai adalah dari Kelantan iaitu 12,000 orang.

Doakan H60K berjaya

AMANAH - bersama PKR dan DAP kemudian membentuk gabuang baru pembangkang yang diberi nama Pakatan Harapan. Namun ia tidak disertai PAS.

Justeru, himpunan di Kota Bharu hari ini akan memberi makna yang besar kepada PAS apabila ia diadakan tanpa sokongan rasmi daripada mana-mana parti lain.

Sebelum ini ada ura-ura kumpulan Baju Merah diketuai Pengerusi Gerakan NGO Melayu Datuk Jamal Md Yunos akan menyertai H60K.

Namun apabila dihubungi Malaysiakini semalam, Jamal berkata penyertaan mereka dibatalkan di saat-saat akhir.

Alasannya, sehingga kini beliau tidak menerima manifesto yang menjelaskan tujuan perhimpunan itu diadakan PAS.
PERKASA benar ahli sertai

Di sebalik penolakan itu Jamal tetap mendoakan perhimpunan itu dilangsungkan dengan berjaya.

“Kami memang pada awalnya bercadang nak sertai perhimpunan tersebut tapi saya sehingga sekarang belum dapat melihat hala tuju perhimpunan tersebut.

“Walaupun tak hadirkan diri, saya doakan perhimpunan yang dikatakan untuk memartabatkan agama dan Melayu berjaya,” katanya.

Sementara itu Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali pula berkata pertubuhan berkenaan membenarkan ahlinya menyertai perhimpunan berkenaan.

“Ahli PERKASA Kelantan boleh menyertai acara itu atas kapasiti peribadi,” katanya.

Perhimpunan hari ini dijadual diisi dengan aktiviti persembahan dan solat hajat sebelum acara kemuncak malam ini menampilkan beberapa tokoh terkenal di pentas ceramah.

Antara yang dijangka berucap ialah Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Abdul Hadi sendiri.
Abdul Hadi dijangka akan menyatakan hala tuju parti itu selepas gagasan Pakatan Rakyat berkubur Julai lalu.


Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.