Followers

Monday, September 28, 2015

Bekas Timbalan Menteri HILANG dijumpai selamat


Bekas Timbalan Menteri HILANG dijumpai selamatKUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Abdullah Fadzil Che Wan yang dilaporkan hilang di Bukit Tunku pagi Ahad ditemui selamat kira-kira 7.45 malam.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata, Abdullah Fadzil ditemui oleh salah seorang anak perempuannya di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail setelah hampir sembilan jam dilaporkan hilang.

"Abdullah Fadzil telah ditemui pada pukul 7.45 petang setelah pihak keluarga beliau membuat laporan kehilangannya awal hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, salah seorang anak lelaki beliau, Zadey Che Wan ketika dihubungi mengesahkan berita penemuan bapanya.
"Alhamdulillah, beliau telah selamat ditemui dan kini berada di bawah jagaan keluarga kami," katanya.

Abdullah Fadzil, 70, yang juga bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilaporkan hilang pada pukul 11.00 pagi selepas dilihat keluar dari kediaman adik iparnya di Bukit Tunku, di sini.

Beliau dipercayai menghidap demensia - kelemahan daya mental hingga mengakibatkan hilang memori.

Terdahulu, Zadey menulis di akaun Facebooknya mengenai bapanya memakai baju kemeja hitam dan seluar biru gelap pada Ahad.

"Bapa saya, Abdullah Fadzil Che Wan, berusia 70 tahun, dengan ketinggian 160 sentimeter dan berat 65 kilogram hilang di Bukit Tunku hari ini. Beliau menghidap demensia. Jika anda pernah melihat atau mengetahui di mana beliau berada, sila hubungi 012-3359001, 016-3085773, 012-3013773 atau 019-3860085," katanya.

Pelakon, Lisa Surihani merupakan antara individu yang membantu menyebarkan berita mengenai kehilangan Abdullah dalam usaha mencari bekas timbalan menteri itu.

"Sila bantu untuk 'repost' (papar semula) dan sebarkan perkara ini," kata Lisa.-mstar


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.