Followers

Monday, September 28, 2015

Adakah Azmin berjaya selesaikan krisis air Lembah Klang?


Adakah Azmin berjaya selesaikan krisis air Lembah Klang?Siri kedua semakan pencapaian Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar, kami melihat kembali penstrukturan semula air. 

Apakah Azmin berjaya menjalankan tugas yang lebih baik berbanding Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan adakah ini bermakna tamatnya krisis air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya?

Kebarangkalian berlakunya krisis bekalan air mungkin berulang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya walaupun kerajaan negeri sudah memeterai perjanjian penstrukturan semula industri air yang tertangguh sejak sekian lama.

Pakar industri air, S Piarapakaran berkata ia adalah kesan akibat melambat-lambatkan penstrukturan air tersebut yang bermula di bawah pentadbiran bekas menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kini diteruskan penggantinya, Mohamed Azmin Ali.

Penstrukturan industri air adalah janji utama Pakatan Rakyat (PR) Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13. Namun perubahan menteri besar pada 2014 melambatkan proses menandatangani perjanjian yang akan memulakan proses secara formal.

Melalui penstrukturan, industri air Selangor akan dikeluarkan daripada seliaan syarikat swasta dan diletakkan di bawah syarikat milik kerajaan negeri, Air Selangor.

PR Selangor berkata, amat perlu untuk membekalkan air kepada penduduk dengan kadar berpatutan dan menyelesaikan masalah sistem penyaluran air yang mengakibatkan satu pertiga air terawat dibazirkan.

ff

Dengan cuaca panas luar biasa tahun depan, seperti dijangkakan pakar kaji cuaca, ia akan turut meningkatkan permintaan penggunaan air daripada isi rumah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 September, 2015.

Dengan cuaca panas luar biasa tahun depan, seperti dijangkakan pakar kaji cuaca, ia akan turut meningkatkan permintaan penggunaan air daripada isi rumah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 September, 2015.

Namun pengkritik mendakwa, proses penstrukturan semula air di bawah pentadbiran Azmin terbantut kerana beliau hanya mampu mengambil alih 3 daripada 4 syarikat. Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) yang mengawal 3 loji rawatan air enggan menyertai perjanjian terbabit.

Kelewatan perjanjian itu memberikan kesan untuk meningkatkan bekalan air terawat bagi memenuhi permintaan 8 juta penduduk dan ribuan perniagaan.

"Sekarang permintaan air menyamai jumlah bekalan," kata Piaraparakan dan menambah margin pengeluaran dan saluran bekalan air terlalu kecil.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) berkata, margin yang ada adalah antara 1% hingga 3%, bergantung kepada kawasan.

Loji rawatan air Selangor menghasilkan kira-kira 4,700 juta liter air sehari (MLD) manakala permintaan sekitar 4,600 MLD.

Margin itu mengukur jumlah lebihan simpanan berbanding permintaan.

Lebih banyak margin, lebih baik, kata Piarapakaran, yang merupakan presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer).

“Secara optimum, ia seharusnya mempunyai 20%, tetapi, margin operasi sebanyak 10% boleh diterima. Jadi jika permintaan meningkat disebabkan perayaan atau cuaca panas, ia akan melebihi jumlah pengeluaran.

“Ini akan menyebabkan sesetengah penduduk tidak mendapat bekalan air, terutamanya pengguna pada akhir rangkaian pengedaran,” katanya.

Beliau menjangkakan ia akan berlaku sebaik saja permintaan meningkat terutamanya ketika sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri tahun depan ketika pengilang makanan meningkatkan pengeluaran mereka.

Dengan cuaca panas luar biasa tahun depan, seperti dijangkakan pakar kaji cuaca, El-Nino yang bermula di Lautan Pasifik akan melanda bulan ini, ia akan turut meningkatkan permintaan penggunaan air daripada isi rumah, kata Piaraparakan.

Kesan tanpa SPLASH

Khalid dan PR Selangor mahu memulakan proses penstrukturan air Selangor selepas mengambil alih kerajaan negeri pada 2008, namun Barisan Nasional (BN) yang memerintah di Putrajaya belum memberikan lampu hijau kepada mereka.

rr

Kadar bekalan air tidak membawa untung Selangor adalah 34%, yang berlaku akibat kebocoran dan kegiatan mencuri air. Ini bermakna, bagi setiap 100 unit air terawat, 34 unit hilang dan tidak sampai kepada pengguna. – 
 Kadar bekalan air tidak membawa untung Selangor adalah 34%, yang berlaku akibat kebocoran dan kegiatan mencuri air. Ini bermakna, bagi setiap 100 unit air terawat, 34 unit hilang dan tidak sampai kepada pengguna.

Hanya selepas PR Selangor memenangi pilihan raya bagi penggal kedua pada 2013, Putrajaya setuju dengan cadangan Khalid untuk kerajaan negeri mengambil alih industri air dengan jumlah RM9.6 bilion.

Khalid bagaimanapun disingkirkan PKR disebabkan cara beliau menguruskan penstrukturan air Selangor.

Apabila Azmin mengambil alih, beliau meneruskan apa yang Khalid mulakan tetapi rundingan di antara Selangor dan Putrajaya tegang disebabkan isu pemilikan tanah di mana terletaknya sesetengah fasiliti industri.

SPLASH juga menyatakan tidak bersetuju dengan tawaran bernilai RM3.17 bilion daripada Selangor untuk mengambil alih aset dan operasinya. Selangor bagaimanapun akan meneruskan rundingan dengan SPLASH untuk pengambilalihan asetnya.

Apabila bahagian akhir perjanjian itu selesai dan ditandatangani Julai tahun ini, diumumkan hanya 3 syarikat yang akan diambil alih.

Mereka adalah Puncak Niaga Sdn Bhd dan Konsortium Abass, yang menguruskan loji pusat rawatan air dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang mengawal saluran paip dan pengagihan.

Ketika Selangor bersedia untuk mengambil alih operasi, Piaraparakan berkata, ia akan mengambil masa sebelum masalah penyaluran dapat diselesaikan.

Kadar bekalan air tidak membawa untung Selangor adalah 34%, yang berlaku akibat kebocoran dan kegiatan mencuri air. Ini bermakna, bagi setiap 100 unit air terawat, 34 unit hilang dan tidak sampai kepada pengguna.

Apabila ditanya sama ada kelewatan menandatangani perjanjian akan memberikan kesan kepada pengagihan, setiausaha politik menteri besar Selangor, Shuhaimi Shafie berkata kedua-dua isu itu tidak berkait.

"Perjanjian melibatkan terma komersial industri air. Ia tidak memberikan kesan (terhadap rawatan air dan bekalan) sekarang," katanya melalui mesej pesanan ringkas.

Shuhaimi menambah, penolakan SPLASH juga tidak menimbulkan kesan kepada keseluruhan proses penstrukturan dan mengancam keupayaan kerajaan negeri untuk mengawal rawatan air secara sepenuhnya.

Syarikat itu memiliki 3 loji rawatan yang mampu membekalkan 3,000 daripada 4,700 juta liter air yang dihasilkan industri setiap hari.

"Isu SPLASH tidak berkaitan dengan bekalan air. Malah, SPLASH juga bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dari awal hingga sekarang membabitkan pelbagai isu operasi bekalan," kata Shafie.

Piarapakaran berkata, komponen terpenting untuk menguruskan isu penyaluran ialah memiliki sistem pengedaran itu, dalam kes ini adalah Syabas.

"Jika pengagihan dikawal, kos dan kebocoran akan mampu dikawal, semuanya melibatkan penyelenggaraan dan pembaikan,” katanya.

Selangor dan Putrajaya memeterai perjanjian akhir pada 8 September.

Azmin dilaporkan sebagai berkata, Air Selangor masih mempunyai sehingga Julai tahun depan untuk berunding dengan SPLASH. –TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.