Followers

Saturday, June 13, 2015

Wahai Bakal PM, Jangan Biar Mahathir Terus Sendirian... Oleh Shahbudin Husin

Tun Mahathir memang diketahui seorang yang "keras hati" dan tidak pernah mengalah dengan apa yang sudah dimulakannya. Sesetengah yang rapat dengannya mengatakan, bekas Perdana Menteri itu seperti mendapat "nyawa baru" bila sedang berkelahi.

Beliau akan kelihatan cergas, penuh semangat, berwajah kemerah-merahan dan lebih berseri-seri apabila berkrisis berbanding hanya kelihatan seperti negarawan biasa ketika jiwanya aman dan tenteram.

Sejak mula menarik sokongannya terhadap Perdana Menteri pada Ogos 2014 lalu, Tun Mahathir telah melancarkan banyak serangannya. Kelemahan sebagai pemimpin, tunduk kepada negara asing, skandal 1MDB, Altantuya, karenah Rosmah dan lain-lain adalah antara peluru yang digunakannya untuk menembak Najib.

Seruannya agar Najib meletakkan jawatan juga sudah beberapa kali dilakukannya. Tun Mahathir tidak berselindung lagi bahawa masalah UMNO, BN dan negara hanya dapat diselesaikan dengan perletakan jawatan Najib sebagai Perdana Menteri.

Pada peringkat awal, Najib banyak berdiam diri dan seolah-olah tidak mahu melawan serangan demi serangan itu. Sambil tidak mengendahkan serangan itu, beliau sebaliknya mula mengumpul sokongan untuk memperlihatkan bahawa walaupun dikritik oleh Tun Mahathir tetapi sokongan terhadapnya masih utuh.

Namun sejak kebelakangan ini jelas Najib sudah berbeza pendirian. Selain sudah berani memberi kata dua kepada anggota kabinet sama ada mengundurkan diri atau bersamanya, Najib juga mulai menjawab, menyerang, memperlekeh dan mengungkit-ungkit sokongannya kepada Tun Mahathir selama ini.

Selain melakukan semua itu dalam ucapan, Najib juga sudah empat kali menjawab kritikan Tun Mahathir melalui soalan lazim menerusi blog NajibRazak miliknya.

Tun Mahathir yang lebih dulu popular melalui blog Chedet, juga menggunakan tulisan melalui media baru itu untuk menyerang atau menjawab balas apa yang terbuku di hatinya terhadap Najib.

Kedua-duanya kini nampak selesa berbalas serangan dan jawab-menjawab melalui blog masing-masing. Dengan Najib dan Tun Mahathir semakin agresif ini, hakikatnya hubungan mereka semakin retak, sukar dipulihkan dan hanya menunggu masa untuk terus terbelah dua.

Tun Mahathir juga sudah beberapa kali menyebut Muhyiddin Yassin sebagai bakal pengganti Najib berdasarkan tradisi dan hireaki dalam UMNO. Tetapi sesetengah pihak pula berpendapat Tengku Razaleigh Hamzah lebih sesuai berdasarkan pengalaman, rekod bersih dan harapan lebih cerah memenangi pilihanraya akan datang.

Bagaimanapun, baik ketika memulakan serangan sehinggalah kini sudah memasuki fasa di mana Najib nampaknya semakin agresif, bukan saja menjawab, membalas kritikan malah juga mengulangi pendirian tidak sesekali akan berundur, Tun Mahathir hanyalah bersendirian melakukan tugas ini.

Sebaliknya pula, selain Najib ketika ini makin banyak idea dan lebih keberanian menyanggah, serangan kepada Tun Mahathir juga dilakukan melalui media arus perdana dan bantuan peranan "orang lama" seperti Shahrir Samad dan Annuar Musa.

Walaupun majoriti rakyat bersama Tun Mahathir dan melihat tindakannya mewujudkan krisis dengan Najib bertujuan menyelamatkan lebih banyak wang negara terus lesap dan mengelakkan BN daripada hilang kuasa, tiada kalangan pemimpin UMNO atau bekas menteri yang benar-benar terbuka dan berani menyatakan sokongan mereka.

Ramai yang masih bertindak seperti kepala kura-kura, sekejap muncul, sekejap tenggelam. Dua pemimpin kanan UMNO, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal pun kelihatan masih dalam zon berhati-hati walaupun mereka diketahui agak kritikan terhadap Najib dalam isu 1MDB.

Sebahagian yang lain juga bersikap sama, meskipun isi hati mereka terhadap masalah yang sedang berlaku ini lebih jelas difahami kebimbangannya jika berbual sesama sendiri.

Daripada kalangan bekas pemimpin yang masih ada pengaruh, termasuk yang diketahui rapat dengan Tun Mahathir, juga tidak mahu bersikap terbuka, meskipun jika bercakap dalam perbualan biasa, mereka ini agak kuat "membelasah" Najib.

Sampai bilakah Tun Mahathir harus dibiarkan sendirian menyingkirkan Najib dan menyelamatkan negara ini? Jika kemelut ini berpanjangan setahun dua lagi, tidak kesiankah dengan stamina Tun Mahathir yang sudah mencecah usia 90 tahun itu?

Terutama kepada nama yang sudah disebut sebagai bakal Perdana Menteri dan mereka yang selalu melafazkan rasa cinta kepada negara, tidakkah kini masanya untuk bertindak berani dan menyatakan pendirian demi kepentingan negara?

Kenapa dibiarkan Tun Mahathir terus sendirian sedangkan cukup disedari memanjangkan lagi tempoh jawatan Najib adalah lebih buruk kepada negara daripada cepat-cepat menyingkirkannya? - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.


Dalam keadaan sekarang, hampir tidak ada yang berani mengatakan hubungan Najib Razak dengan Tun Mahathir Mohamad mampu dipulihkan seperti sedia kala. Lebih ramai yang percaya pertelingkahan ini akan berterusan dengan penutup ceritanya yang sukar diramalkan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.