Followers

Thursday, April 23, 2015

Tuan Ibrahim seru ahli PAS undi PKR, ‘elak mudarat’ BN


Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat akan berdepan bahaya lebih besar jika ahli PAS tidak mengundi PKR dan membuka ruang kepada Umno dan Barisan Nasional menguasai kerusi Parlimen Permatang Pauh. –

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat akan berdepan bahaya lebih besar jika ahli PAS tidak mengundi PKR dan membuka ruang kepada Umno dan Barisan Nasional menguasai kerusi Parlimen Permatang Pauh. –

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man lewat petang ini menggesa ahli PAS di Permatang Pauh agar terus mengundi PKR walaupun parti itu mempunyai "pendekatan berbeza" dalam pelaksanaan hudud.

Katanya, rakyat akan berdepan bahaya yang lebih besar jika ahli PAS tidak mengundi PKR dan membuka ruang kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) menguasai kerusi Parlimen itu.

"Ia boleh mendedahkan mudarat yang lebih besar kepada rakyat sekiranya Umno-BN terus berkuasa.

"Maka sebagai ahli Majlis Syura, saya menyeru semua ahli PAS yang berdaftar sebagai pengundi di Permatang Pauh untuk keluar mengundi dan memberi undi kepada calon dari PKR.

"(Ini) kerana keputusan memberi kerjasama dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh adalah keputusan yang turut melibatkan hukum syarak," katanya dalam satu kenyataan.

PRK Permatang Pauh, diadakan susulan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara lima tahun, ditetapkan pada 7 Mei dengan penamaan calon pada 25 April.

Tuan Ibrahim turut menegaskan, pimpinan parti harus berhenti daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang bakal mengeruhkan lagi hubungan dengan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Pimpinan parti di semua peringkat diminta tidak mengeluarkan kenyataan kontroversi sama ada melibatkan hubungan dengan PR atau melibatkan hukum.

"PAS mempunyai organisasi lengkap bagi membuat keputusan melibatkan dasar dan perjalanan parti.

"Kenyataan kontroversi ini hanya akan menguntungkan musuh dan ia hanya menambahkan derita rakyat dalam situasi yang ada kini," katanya.

Bekas ketua penerangan PAS itu berkata, isu kontroversi yang melibatkan hukum mesti dirujuk kepada pendirian rasmi Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama kerana ia mempunyai implikasi besar.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, PAS berpuas hati dengan penjelasan PKR yang pada asasnya tidak menolak pelaksanaan hudud secara keseluruhan.

"Perbezaannya ialah soal pendekatan dalam membawa usul dan pelaksanaannya.

"Maka, perbezaan ini akan membuka dialog dan perbincangan ilmiah secara berterusan pada masa kini dan akan datang," katanya.

Kenyataan beliau itu dibuat ketika Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terdahulu hari ini menyatakan, beliau menghormati akar umbi PAS Kawasan Permatang Pauh yang mahu memboikot kempen PKR kelak.

Mengambil nada yang sedikit berbeza dengan ketuanya, kenyataan Tuan Ibrahim ini dilihat cuba meredakan pergeseran di peringkat bawahan PR menjelang PRK itu nanti.

Namun, Tuan Ibrahim senada dengan Hadi yang menegaskan PAS tetap kekal dalam PR walaupun wujud perbezaan pendapat berhubung isu hudud.

"Isu hubungan dan kerjasama dalam PR, sekali lagi ditegaskan, kita masih bersama dengan PR, dan ini ditegaskan oleh presiden berulang kali.

"Musuh cuba memecah-belah PR sejak hari pertama kita diwujudkan sehingga kini.

"Pendirian parti mesti didokongi ahli sehinggalah ada keputusan baharu," katanya. – 22 April, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.