Followers

Thursday, April 23, 2015

Tuan Ibrahim: Kerjasama ikut hukum syarak

 
 

Seorang anggota Majlis Syura PAS menyeru ahli PAS di Permatang Pauh menyokong calon PKR dalam pilihan raya kecil parlimen itu dan menasihatkan pemimpin semua peringkat tidak mencetuskan kontroversi berkaitan hubungan Pakatan Rakyat.

Gesaan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man itu dibuat ekoran 'fatwa Permatang Pauh' oleh Ketua Urusan Ulama PAS Permatang Pauh Badrul Abdul Rahman bahawa "haram mengundi calon tolak hudud" dalam pilihan raya kecil parlimen itu 7 Mei depan, selepas PKR enggan menarik balik kenyataan berkaitan hukum Islam itu.

Tuan Ibrahim menegaskan isu melibatkan hukum mesti dirujuk kepada pendirian rasmi Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama PAS kerana jika tidak, ia boleh mendedahkan "mudarat yang lebih besar" dan menguntungkan musuh yang cuba memecah belah Pakatan.

"Maka sebagai ahli Majlis Syura, saya menyeru agar semua ahli PAS yang berdaftar sebagai pengundi di Permatang Pauh untuk keluar mengundi dan memberi undi kepada calon dari PKR.

"(Ini) kerana keputusan memberi kerjasama dalam PRK Permatang Pauh adalah keputusan yang turut melibatkan hukum syarak," katanya sambil menegaskan PAS masih komited dalam Pakatan Rakyat.

Beliau, yang juga calon timbalan presiden PAS menegaskan, pendirian parti untuk menjadi sebahagian komponen dalam Pakatan Rakyat mesti didukong oleh ahli sehinggalah terdapat keputusan baru dibuat mengenainya.

"Isu sokongan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (EKJS) sebagaimana yang disebut oleh presiden PAS, PAS akan membawanya ke Parlimen dan kita menyeru agar ahli Parlimen Muslim menyokongnya. Akan tetapi, kita tidak boleh memaksa mereka untuk menyokongnya.

"PAS menerima penjelasan dari PKR berhubung EKJS Kelantan dan memahami pendirian mereka yang tidak menolak syariat Allah yang menjadi kewajipan bagi umat Islam.

"Perbezaannya ialah soal pendekatan dalam membawa usul dan pelaksanaannya. Maka perbezaan ini akan membuka dialog dan perbincangan ilmiah secara berterusan pada masa kini dan akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.