Followers

Thursday, April 23, 2015

Hadi yakin Umno akan sokong hudud PAS di Parlimen OLEH KC NAZARI

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Presiden Parti Islam Malaysia bercakap pada forum ‘Bicara Minda: Hudud dari Kaca Mata Hadi’, di Shah Alam, petang ini. Beliau menegaskan, Islam mengajar umatnya untuk bersangka baik dengan harapan golongan munafik juga akan bertaubat.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Presiden Parti Islam Malaysia bercakap pada forum ‘Bicara Minda: Hudud dari Kaca Mata Hadi’, di Shah Alam, petang ini. Beliau menegaskan, Islam mengajar umatnya untuk bersangka baik dengan harapan golongan munafik juga akan bertaubat.

PAS mengambil risiko mempercayai janji Umno untuk menyokong hudud kerana Islam menganjurkan penganutnya bersangka baik terhadap golongan munafik dengan harapan mereka akan benar-benar berubah, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, Islam mengajar umatnya untuk bersangka baik dengan harapan golongan munafik sekalipun akan bertaubat.

"Umno kata hendak sokong hudud – dalam Islam kita diajar menerima ucapan zahir daripada sesiapa sahaja termasuklah mereka yang munafik sekali pun.

"Jadi, dengan cara ini yang munafik pun akhirnya bertaubat," kata Hadi pada forum “Bicara Minda: Hudud dari Kaca Mata Hadi”, di Shah Alam petang ini.

Hadi berkata, cabaran utama PAS sekarang ialah menggembleng sokongan semua ahli Parlimen beragama Islam terlebih dahulu.

"Oleh sebab itu, kita harap ahli Parlimen Islam akan menerimanya terlebih dahulu," katanya.

Beliau turut mengulangi keyakinannya yang hudud akan mengurangkan kadar jenayah dan 'nikmatnya' hanya akan dapat dirasai apabila ia dilaksanakan.

"Malah dalam konsep kehakiman (hudud), hakim akan seboleh mungkin mencari jalan membebaskan orang yang dituduh," katanya lagi.

Pada 19 Mac lalu, semua 44 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan, termasuk dari Umno, mengundi menyokong Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

Laluan mudahnya memang dijangka memandangkan PAS mempunyai majoriti dua pertiga di DUN dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V juga menyatakan sokongannya kepada pelaksanaan hudud di negeri itu.

Adun Kelantan yang 31 daripadanya ahli PAS, 12 Umno dan seorang PKR, hanya mengambil masa 2 hari membahaskan rang undang-undang itu.

Hudud memperuntukkan hukuman rejam sampai mati untuk kesalahan zina dengan pasangan yang sudah berkahwin, sebatan antara 40 dan 80 kali untuk kesalahan meminum arak dan potong tangan kerana mencuri.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada Umno akibat daripada menyokong agenda PAS melaksanakan hudud, mengatakan kanun keseksaan Islam itu diperkenalkan untuk tujuan politik.

Katanya, beliau terkejut melihat Umno Kelantan amat menyokong hudud PAS dan mengingatkan parti itu sepatutnya sedar tindakan mereka.

"Saya terkejut mendengar Umno Kelantan menyokong hudud PAS. Saya harap mereka faham apa yang mereka lakukan," katanya.

Dr Mahathir juga menyifatkan hudud PAS bukan hukum Islam kerana ia tidak adil apabila hanya dihadkan kepada orang Islam, sedangkan bukan Islam dikenakan hukuman ringan di bawah undang-undang sivil.

Katanya, tidak adil jika seseorang dihukum secara berbeza dalam satu masyarakat yang sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun masih belum menyatakan kedudukannya dengan jelas walaupun 12 pemimpin parti komponen Barisan Nasional menemuinya bagi menyatakan pendirian mereka yang tidak bersetuju, sehari selepas enakmen itu diluluskan DUN Kelantan.

Selepas itu, hampir semua pemimpin bukan Islam, terutamanya dari Sabah dan Sarawak, mengisytiharkan tidak akan menyokong sebarang pindaan kepada undang-undang persekutuan bagi memperkenalkan kanun keseksaan Islam itu di Kelantan.

DAP yang merupakan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) berkata, Najib mesti bersedia mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang. – 22 April, 2015.
 


See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.