Malaysia akan memberikan penjelasan kepada majalah mingguan Indonesia
berhubung laporannya yang mendedahkan 'gaya hidup mewah' Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, lapor
Utusan Malaysia hari ini.
Memetik kenyataan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain
Mohamed Hashim, pihaknya mahu berjumpa dengan editorial Tempo bagi
menjelaskan isu itu yang disifatkannya sebagai tidak tepat.
Menurut akhbar milik Umno itu, perjumpaan akan diadakan dalam masa
terdekat sejurus selepas Zahrain pulang ke Jakarta kerana buat masa ini
beliau masih berada di Kuala Lumpur, mengiringi Najib bagi acara 60
tahun Persidangan Asia-Afrika esok.

Zahrain yang juga bekas pemimpin PKR itu berkata, gaya perbelanjaan
Najib tidak perlu dipertikaikan kerana beliau sememangnya berasal
daripada keturunan kelas tinggi.
"Perdana menteri daripada keturunan berdarjat dan bangsawan. Perbelanjaan dan penghidupannya tidak jadi masalah jika mampu.
"Yang jadi masalah ialah jika terlibat dengan korupsi, penyelewengan dan sebagainya," katanya dipetik Utusan Malaysia.
Zahrain berkata, beliau akan menjelaskan kepada editorial majalah
tersebut mengenai kedudukan dan siapa sebenarnya perdana menteri yang
berasal daripada keturunan bangsawan dan berdarjat itu.
Majalah Tempo dalam keluaran khas sempena Peringatan 60 Tahun
Persidangan Asia-Afrika bagi edisi 20 hingga 26 April bertajuk "Hidup
Mewah Sang Perdana Menteri" mendedahkan perbelanjaan mewah Najib dan
Rosmah.
Zahrain berkata, Tempo sepatutnya menyiasat terlebih dulu kesahihan
berita yang 'dikutip' daripada portal berita pembangkang yang
sememangnya membawa berita negatif.
"Tempo tidak mengambil jalan berkecuali dalam laporannya. Mereka sepatutnya mengambil tahu latar belakang perdana menteri.
"Perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu. Tempo perlu menyiasat dulu
kesahihan berita yang dikutip itu sebelum membuat sebarang laporan.
"Perdana menteri bukan calang-calang orang yang harus dipersoalkan," katanya.
Tempo melaporkan tentang barangan yang dibelanjakan Rosmah termasuk beg
tangan jenama Birkin dan barang kemas, 2 hari selepas melakukan lawatan
kerja ke republik itu.
Tempo juga memaparkan gambar jam tangan mewah yang dikeluarkan Badan
Bertindak Pemerhati Jenayah Malaysia (MyWatch) baru-baru ini yang
didakwanya milik pasangan tersebut.
Mywatch mendakwa, setiap satu jam tangan milik Rosmah berharga antara
RM79,200 untuk Hublot BlackBerry Black Magic 114 dan RM486,000 untuk
Richard Mille Lady RM 007.
Tempo juga membuat perbandingan antara jam tangan dengan pendapatan Najib iaitu kira-kira RM350,000 setahun.
"Kehidupan Najib dan keluarganya menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia," katanya dalam artikel itu.
Penggayaan rambut Rosmah bernilai RM1,200 juga turut ditimbulkan, yang
mengundang kritikan hebat ketika rakyat bergelut dengan tekanan hidup.
Tempo juga menyentuh isu anak tiri Najib, Riza Aziz yang membeli
kondominium mewah di New York bernilai RM110 juta pada 2012 dan rumah di
Beverly Hills, California bernilai AS$17.5 juta secara tunai, seperti
yang dilaporkan New York Times.
Kehidupan mewah Rosmah dan Najib disiarkan di beberapa media tempatan
dan antarabangsa kebelakangan ini, dan turut disiarkan dalam satu
artikel New York Times edisi Februari berkaitan kekayaan ahli perniagaan
Low Taek Jho.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membidas kehidupan mewah Najib dan Rosmah dalam blognya.
"Ada banyak perkara tentang kelakuan peribadinya (Najib) yang saya rasakan tidak betul.
"Namun, saya bersedia untuk melupakannya, termasuklah gaya hidup mewah beliau dan isterinya," kata Dr Mahathir. – tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.