Jika ikhlas sanjung Nik Aziz, pulangkan hak royalti minyak
Sekiranya benar Barisan Nasional (BN) ikhlas menyanjung bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia Khamis lepas, parti itu seharusnya memulangkan hak royalti minyak kepada rakyat negeri itu, kata PAS.
Ketua Penerangannya Datuk Mahfuz Omar berkata, sewajarnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memulakan tindakan menunaikan hak yang dituntut rakyat Kelantan berhubung isu royalti minyak.
"Ketika Almarhum Nik Aziz menjadi menteri besar, antara perkara utama membabitkan hak rakyat yang diperjuangkan ialah royalti minyak."
Mahfuz berkata pujian dan sanjungan yang diberi Putrajaya terhadap ketokohan Nik Aziz haruslah selari dan disusuli tindakan memulangkan royalti minyak bagi membuktikan ia tidak hanya berpura-pura.
"Bahkan, terdapat ura-ura BN tidak perlu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka sebagai tanda hormat kepada Almarhum," katanya merujuk DUN yang diwakili Nik Aziz semasa hayatnya sejak 1990.
"Alangkah lebih baik sekiranya Najib menunaikan hak yang dituntut rakyat Kelantan iaitu royalti minyak," katanya.
Ini katanya susulan kegigihan Nik Aziz sendiri yang pada 30 Ogos 2010 hadir sendiri ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memfailkan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh daripada perairan negeri itu.
"Justeru, saya berharap agar perasaan simpati dan sanjungan yang diberikan kepada Almarhum itu bukanlah sebuah kepura-puraan.
"Hasrat Almarhum perlulah diterjemahkan oleh pihak kerajaan Malaysia melalui Petronas dengan berlaku jujur dan berani dalam melaksanakan janji yang termeterai seperti di dalam Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974, iaitu membayar tuntutan royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan," katanya.
Minggu lepas, lautan manusia memberi penghormatan terakhir kepada jenazah mursyidul am PAS itu di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baru dan turut menghantarnya ke tanah perkuburan, serta ramai yang memuji ketokohan dan kehebatan beliau termasuk pemimpin BN. – TMI
ULASAN GB
Sebelum ini GB sudah ulas dari perspektif yang berbeza, iaitu dari sudut kemungkinan UMNO tidak meletakkan calon di DUN Cempaka. Petikan:
Jika benar UMNO BN tidak bertanding di DUN Cempaka, ia boleh ditafsir dari pelbagai sudut.
Ada yang berkata UMNO takut, UMNO pasti kalah, UMNO belum kukuh malah bertambah rapuh.
PAS pula melalui kenyataan Naib Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan langkah UMNO itu sebagai satu penghormatan.
Soalnya betulkan ia satu penghormatan, atau ada maksud lain yang lebih tersirat dari yang tersurat?
Sebenarnya buat masa ini UMNO amat memerlukan sokongan PAS terutama di dalam isu Anwar Ibrahim yang telah dipenjara.
UMNO BN ini dibelasah habis-habisan dari dalam dan luar negara kerana banyak pihak percaya tindakan pemenjaraan Anwar adalah bermotifkan politik. Jika tidak masakan pendakwa kes tersebut, Mohd Shafee Abdullah masih terus menghentam Anwar di saat Anwar sudah tidak lagi dapat membela dirinya?
UMNO amat berharap PAS akan berlembut dan akan meninggalkan Pakatan Rakyat untuk bersamanya. Masa depan UMNO sudah gelap selepas dan ia hanya akan mampu bangun jika PAS menghulurkan tangan untuk menyelamatnya.
Pilihan yang ada ialah memberi laluan mudah untuk PAS menang di DUN Cempaka. Dengan harapan PAS akan rasa terhutang budi.
Tetapi apakah PAS mahu menggadai "body"nya nanti dengan budi yang kecil itu?
Rakyat Kelantan ada jawapannya, apakah royalti rakyat Kelantan yang dicuri selama ini nak didiamkan begitu saja?
Yang pelik, hal ini terpaksa disuarakan oleh Sdra Mahfuz Omar, ketua Penerangan PAS Pusat. Kerajaan PAS Kelantan semacam dah tak kisah sangat lagi hal royalti....
Ia hebat sewaktu Allahyarham TGNA sebagai Menteri besar dan Husam Musa masih sebagai exco, sekarang sudah sejuk. Rakyat Kelantan sendiri kini yang terpaksa berhempas pulas untuk menuntut kembali hak mereka...
Kelab Greenboc
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.