Followers

Sunday, November 23, 2014

Hadir mesyuarat penting tapi bukan isu SUBKY LATIF



TIDAK dinafikan kehadiran Ustaz Hadi Awang dalam mana-mana mesyuarat yang beliau ahlinya adalah penting dan wajar, tetapi keuzuran menyertainya kadang-kadang tidak bijak dijadikan isu seperti yang dituntut oleh pimpinan DAP.

Pimpinan DAP membangkitkan kehadirannya dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat yang tidak sekerap Anwar Ibrahim sebagai pengerusi dan Lim Kit Siang yang mewakili DAP. Mula-mula sebagai kenyataan terbuka dan kemudian sebagai keputusan mesyuarat pimpinan pusat DAP yang menyarankan supaya beliau wajar hadir.

Tujuannya dikatakan bagi mengembalikan keyakinan penyokong kepada muafakat Pakatan Rakyat.

Sepanjang yang saya kenal dan ketahui lebih dari 30 tahun, Ustaz Hadi bukanlah orang yang culas hadir mesyuarat, malah orang awal hadir dan jarang meninggalkan mesyuarat sehinggalah selesai.

Pada saya, tidak menghadiri mesyuarat bukan pilihannya. Tetapi dengan tanggungjawab dan komitmen politik/dakwahnya yang bertambah, maka tidak semua mesyuarat itu dapat dihadirinya. Tambahan pula dengan usia yang bertambah dan gangguan kesihatan, beliau hadir mana yang membenarkannya saja.

Ke mana-mana juga dalam negeri kebanyakannya beliau berkereta. Maka masa dalam kereta mungkin lebih banyak daripada di rumah, bahkan mungkin tidur dalam motokar sama banyak dengan tidur di rumah atau di tempat penginapan.

Tetapi ia bukanlah alasan untuk tidak hadir semua mesyuarat. Apa pun tidaklah ketiadaannya menggendalakan mesyuarat.

Mungkin ada mesyuarat yang memerlukan kehadirannya juga, maka jika demikian beliau mestilah dimaklumkan awal.

Apa pun eloklah ia disampaikan secara dalaman, tidak sampai dijadikan resolusi mesyuarat. Apabila kehadirannya dikehendaki juga, maka DAP terpaksa membuat keputusan dalam mesyuarat mengenainya, sekali pun bertujuan, tetapi ia boleh ditafsirkan suatu yang luar biasa, maka ia boleh mendatangkan berbagai-bagai tafsiran.

Politik memangnya penuh dengan persepsi dan tafsiran. Tafsiran itu pula ada yang tepat dan banyak juga yang salah.

Gara-gara kenyataan terbuka DAP itu dan diikuti resolusi mesyuarat pimpinan pusatnya menyebabkan hubungan PAS dan DAP kecoh. Menenangkan suatu yang kecoh bukan pula senang.

Pergeseran yang ada itu asalnya berpunca daripada krisis Menterei Besar Selangor. Krisis itu sekalipun tegang, ia sudah diatasi. PAS dan PKR yang tegang dulu, sudah kendur dan masalah mulai lenyap.

Tetapi mengapa ia dibangkitkan lagi hingga boleh menjadi ketegangan baru. PAS tidak boleh tidak jawab dan tidak jelaskan apa yang DAP bangkit secara terbuka. Resolusinya pula didedahkan kepada umum juga.

DAP pun sekarang berdalih bahawa salah faham yang berlaku antaranya dengan PAS adalah salah tafsir. Ia sudah mengaku apa yang dibuatnya sudah disalah tafsir.

Kita boleh terima tafsir yang mesyuarat pimpinan DAP itu telah memberi gambaran buruk kepada Presiden PAS. Bukanlah suatu perkara yang mudah bagi PAS untuk membersihkannya.

Pimpinan PAS dan PAS telah cedera dengan tindakan itu. Tidak dapat diduga apa jadi jika ia tidak diselesaikan. Kita tidak minta DAP buat sesuatu bagi membaiki kerosakan yang sudah berlaku, hanya tindakan daripada DAP saja yang dapat menenangkan keadaan.

Pada PAS ia adalah satu lagi ujian dan cabaran. Ia memerlukan kesabaran bagi memelihara kejernihan muafakat. Yang berlaku amat dikehendaki oleh Umno/BN. Sejak lebih 30 tahun dulu mereka tidak mahu ada muafakat itu, dan bila ia ada, mereka mahu ia dihancurkan.

Jangan beri jalan kepadanya bagi menghancurkan Pakatan dari dalam! – HARAKAHDAILY 20/11/2014

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.