Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob bertindak menghantar surat tuntutan guaman kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, susulan artikel yang mengkritiknya dalam sebuah artikel bertajuk "Hebat Sangatkah Adnan?" dalam akhbar tersebut.
Tuntutan bertarikh 18 November 2014 tersebut dihantar menerusi syarikat guaman Manjeet Singh Dhillon dengan nilai tuntutan saman RM15 juta. Perkara itu didedahkan dalam ruangan kolum Awang Selamat edisi Mingguan Malaysia hari ini.
"Sekadar makluman, tidak molek komen lebih kerana bakal jadi kes mahkamah," kata Awang Selamat yang dipetik dalam artikel pendek itu. Pada 9 November lalu, Utusan Malaysia membidas Adnan apabila menghina akhbar itu kerana berang dengan laporan mengenai kebanjiran 30,000 warga asing, terutama warga Bangladesh di Cameron Highland. Awang mempersoalkan kehebatan menteri besar tersebut dengan berkata Adnan sudah terlalu selesa berada di kedudukannya hingga tidak dapat menerima kritikan.
"Awang seperti tidak percaya ada pemimpin bertaraf menteri besar yang berfikir seperti itu. Inilah masalahnya kalau sudah lama sangat sandang jawatan dan terleka dalam zon selesa sehingga takut dengan bayang-bayang sendiri.
"Ulat pun disangka ular. Beliau sepatutnya belajar dengan menteri besar lain yang mengambil positif dan menjadikan laporan media sebagai peluang menangani sesuatu isu dengan lebih berkesan.
"Ada laporan lebih panas melibatkan negeri lain tetapi menteri besarnya tidak melatah," kata Awang Selamat mengkritik Adnan. Awang dalam tulisannya turut memberi amaran sudah tiba masanya Adnan yang menjadi menteri besar sejak 1999 itu berundur dari jawatannya.
"Walaupun Adnan berjasa kepada negeri itu, tetapi ramai merasakan Pahang tidaklah sehebat mana di bawah pentadbirannya sejak 1999. Tiada faktor 'wow' yang boleh menjadi kebanggaan negeri.
"Isu kelemahan dan kepincangan tertentu di bawah pentadbiran beliau juga jadi bahan bualan. Ingatlah kebanyakan kita ada pekung. Mengata orang tetapi gagal cermin prestasi sendiri," katanya.
- omakkau
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.