Tindakan PKR dan DAP menghantar 1 nama iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail sebagai calon menteri besar tidak melakukan sebarang
kesalahan walaupun dimurkai Sultan Selangor, kata Dr Abdul Aziz Bari.
Pakar Perlembagaan itu berkata undang-undang di Malaysia tidak
menyifatkan derhaka kepada Sultan sebagai satu kesalahan jenayah dan ia
tidak seperti yang ditetapkan di negara jiran Thailand.
“Setahu saya tidak ada undang-undang di Malaysia ini yang menjenayahkan
apa yang dikatakan derhaka. Derhaka bukan satu kesalahan sebenarnya.
“Tidak seperti di Thailand iaya satu kesalahan. Sesiapa yang dianggap
biadap kepada raja boleh dihukum dan sebagainya. Itu undang-undang
mereka tetapi di sini tidak ada.
“Itu hak ‘pihak’ berkenaan menderhakakan sesiapa jadi katak atau apa,”
katanya ketika berucap di forum PAS Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju di
Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur malam tadi.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan
tindakan PKR dan DAP yang mengingkari arahan baginda supaya mengemukakan
lebih 2 nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menggantikan Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim.
Pada masa sama, Sultan Selangor juga tidak menolak kemungkinan
mempertimbangkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lain daripada
parti Pakatan Rakyat (PR) yang berkelayakan untuk dilantik memimpin
negeri terkaya itu.
"Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada
institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan
Selangor," titah Sultan Selangor melalui kenyataan yang dikeluarkan
setiausaha sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani.
Aziz berkata, pihak istana perlu sedar urusan pentadbiran kerajaan
negeri digerakkan sebuah kerajaan yang dipilih rakyat dan segala urusan
pentadbiran berada di bawah tanggungjawab mereka.
Katanya, konsep demokrasi berparlimen jelas melindungi istana daripada
terlibat dengan kancah politik berbeza seperti negara yang mengamalkan
lantikan pemimpinnya secara terus.
“Adakah istana sanggup dilibatkan jika kerajaan ini gagal? Jika sistem
ekonomi dan prestasinya gagal? Mahu? Jadi macam Brunei atau Saudi.
Kerajaan itu lantikan peribadi raja. Apa-apa hal raja tanggung. Jangan
komen, jangan kata, jangan kritik.
“Demokrasi berparlimen untuk lindungi istana supaya jangan terlibat
dengan politik. Itu tujuannya,” katanya kepada 400 hadirin yang
menghadiri forum berkenaan.
Beliau turut membidas kenyataan Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin
Othman semalam yang menggesa rakan parti dalam Pakatan Rakyat (PR)
supaya akur kepada titah Sultan Selangor dalam kemelut melibatkan nama
calon menteri besar yang masih berlarutan.
Katanya, bukan pemimpin PR yang menderhaka kepada institusi diraja
sebaliknya perkara berkenaan terdahulu dilakukan oleh Umno dalam krisis
pentadbiran sebelumnya.
“Saya dapati setiausaha PAS Selangor agak pelik kerana dia seolah-olah
melihat ini satu usaha melawan dengan istana. Tiada siapa yang mahu
berlawan dengan istana. Yang menuduh kita melawan istana adalah Umno.
“Dalam demokrasi tiada apa yang dikatakan kuasa mutlak. Dalam Islam pun
tidak ada. Kuasa mutlak hanya kepada Allah, raja segala raja,” katanya.
Khairuddin dalam satu kenyataan semalam berkata kedegilan PKR dan DAP
dalam kemelut menteri besar Selangor adalah perkara sia-sia kerana ia
menyusahkan rakyat Selangor.
"PAS Selangor mohon rakan kita agar akur kepada titah Tuanku Sultan
kerana kita tidak akan ke mana-mana apabila menentang institusi raja
ini.
"Kita yakin kemelut ini boleh diselesaikan dan kita harap ia
diselesaikan segera. Lagi lama kemelut ini berlaku, maka lagi susah
rakyat kita.
"Cukuplah. Mari kita fikir pula masalah kebajikan rakyat yang sudah lama tergendala," katanya. ~tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.