SHAH ALAM, 6 FEB: Usaha
sebuah cabang PKR Negeri Sembilan untuk mengadakan ceramah di Rantau,
Negeri Sembilan semalam dihalang oleh sekumpulan lelaki bersenjata tajam
yang mendakwa mereka penyokong Umno-BN.
Setiausaha
PKR Rembau, Nor Azizi A Aziz berkata insiden itu berlaku apabila
petugas PKR dari Cabang Rembau tengah membuat persiapan bagi ceramah itu
di kawasan lapang di dalam Taman Jade Indah, Rantau.
"Ketika
beberapa petugas sedang membuat persiapan bagi menjayakan ceramah itu
pada kira-kira jam 6.30 petang, datang sekumpulan lebih kurang 30 orang
bersenjata tajam ke arah mereka lalu membuat ugutan supaya ceramah itu
tidak diteruskan.
"Kumpulan
mereka menjadi lebih besar selepas itu dengan kehadiran lebih ramai
orang. Salah seorang daripada mereka mengakui sebagai Ketua Kampung
Kuala Sawah manakala yang lainnya mengatakan mereka penyokong Umno-BN.
"Mereka
juga menyatakan tidak akan membenarkan sebarang program atau ceramah PR
diadakan di situ kerana kawasan itu kawasan Menteri Besar Negeri
Sembilan," katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.
Kumpulan
itu juga melaungkan kata-kata kesat kepada petugas PKR berbangsa India
yang terlibat di dalam kerja-kerja persiapan ceramah tersebut.
Azizi berkata, kehadiran polis selepas itu menyebabkan kumpulan tersebut bersurai meninggalkan kawasan tapak ceramah itu.
Ekoran insiden itu, pihaknya sudah membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Kuala Sawah Rantau selepas itu.
Katanya, pihaknya berharap polis menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
Beliau
berkata, disebabkan itu juga ceramah PR yang melibatkan beberapa
pemimpin termasuk ADUN Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani dan Pengerusi
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau
CheguBard terpaksa dipindahkan ke Taman Pnggiran, Senawang.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.